Purple League Corporate tawar habuan lumayan

Khek Mong (kiri) menyasarkan penglibatan daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan dalam kejuaraan kali ini. - Foto Purple League
Khek Mong (kiri) menyasarkan penglibatan daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan dalam kejuaraan kali ini. - Foto Purple League
A
A
A

LIGA badminton semi-pro Purple League Corporate akan kembali dipertandingkan di Akademi Badminton Biz Link One yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik Covid-19.

Musim kedua kejohanan ini dijadualkan dalam dua hujung minggu berturut-turut secara pusingan robin dari 6 hingga 7 Ogos dan 13 hingga 14 Ogos sementara pusingan akhir akan berlangsung dari 20 hingga 21 Ogos selepas edisi sulungnya pada 2019.

Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL), Ho Khek Mong berkata, pertandingan itu menyasarkan penglibatan daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan.

“Perangkaan menunjukkan badminton kini menjadi sukan rekreasi nombor satu untuk pekerja korporat dan kerajaan selepas waktu kerja.

"Kami bertekad menyediakan sebuah platform sukan untuk mana-mana syarikat atau agensi yang sentiasa aktif dan mempunyai minat mendalam dalam badminton.

“Saya percaya pertandingan ini akan menjadi sebuah platform untuk syarikat korporat dan agensi kerajaan merasai sendiri suasana aksi sukan selain sebagai sebuah platform bagi mereka meluaskan peluang perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Khek Mong berkata, empat syarikat sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam kejohanan ini setakat ini dan entiti korporat yang berminat menyertainya masih boleh mendaftar sehingga 4 Julai ini. - Bernama