Remaja OKU hilang: Selamat pulang sendiri ke rumah

Pemeriksaan kesihatan terhadap Muhammad Haikal.
Pemeriksaan kesihatan terhadap Muhammad Haikal.
A
A
A

BENTONG - Selepas dilaporkan hilang beberapa hari lalu, seorang remaja yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui selamat selepas pulang sendiri ke rumahnya, semalam.

Muhammad Haikal Ahmad, 17, yang mengalami masalah pembelajaran itu ditemui di dalam biliknya di rumahnya di Kampung Paya Pelantar oleh ayahnya, Ahmad Mat Ali,52 selepas pulang dari kerja.

"Masa saya balik rumah pagi tadi, saya cuba masuk ke bilik anak dan mendapati pintu berkunci. Saya suruh seorang lagi anak masuk dan mendapati Muhammad Haikal ada di dalam bilik sedang tidur.

"Buat masa ini dia masih lagi merajuk dan tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Malah keadaannya masih lagi lemah, pegawai perubatan juga sudah datang untuk membuat pemeriksaan ke atasnya," katanya.

Pada Selasa lalu, anak bongsu daripada dua beradik itu hilang selepas dipercayai masuk ke dalam hutan berhampiran rumah neneknya di Kampung Lengkong Karak..

Haikal dikatakan merajuk kerana diminta ayahnya pergi ke kelas mengaji dilihat kali terakhir kira-kira jam lima petang sebelum penduduk kampung ternampak remaja itu masuk ke ladang sawit berhampiran hutan terbabit.

Usaha pencarian oleh ayahnya bersama penduduk tidak berhasil pada hari tersebut sebelum melaporkan insiden itu kepada polis Rabu lalu.

Ahmad berkata, dia bersyukur anaknya ditemui selamat dan berterima kasih kepada polis, bomba dan agensi yang lain serta keprihatinan orang ramai yang membantunya.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur kerana anak tak cedera. Cuma keadaannya lemah saja. Saya berterima kasih kepada semua agensi penyelamat serta penduduk kampung yang bertungkus lumus mencari anak saja sejak awal lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah,Superintendan Yusuf Unis mengesahkan penemuan remaja itu dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

Dalam operasi terbabit yang dijalankan sejak Rabu lalu, seramai 120 orang terlibat terdiri pasukan penyelamat termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang kampung selain turut menggunakan khidmat anjing pengesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja OKU hilang sejak Selasa