Pemuda Pas minta kerajaan kaji semula jumlah bantuan BKM

Laporan SInar Harian pada Rabu
Laporan SInar Harian pada Rabu
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas meminta kerajaan supaya mengkaji semula nilai sesuai bagi bantuan tunai diberikan menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) supaya selari dengan perkembangan semasa negara.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bantuan tambahan BKM yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dilihat hanya bersifat jangka pendek dan tidak cukup komprehensif untuk menangani keresahan rakyat ekoran kemungkinan peningkatan harga barangan.

Ia susulan daripada pengumuman kerajaan untuk memansuhkan pelaksanaan harga siling bagi beberapa barangan makanan antaranya telur dan minyak masak.

“Meskipun wujud alternatif dari kerajaan untuk memberi bantuan tunai secara terus, serta meningkatkan BKM kepada 8.6 juta marhen kategori M40 dan B40, adakah jumlah tersebut mencukupi untuk mereka menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat?

“Bantuan tambahan RM100 dan RM50 hanya bersifat sementara dan bukan suatu penyelesaian yang tuntas, terutama untuk golongan yang tinggal di bandar besar dan ibu kota,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pihaknya berpandangan usaha lebih komprehensif perlu dilaksanakan kerajaan untuk menangani tekanan dihadapi rakyat.

Antara usaha dicadangkan adalah mempermudah sebarang urusan birokrasi antara kumpulan penternak dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam urusan permohonan dan kelulusan wang subsidi.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama serius antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan agensi penguatkuasa juga perlu dilaksanakan bagi memantau harga barang di pasaran serta menghalang aktiviti menyorok bahan makanan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan, kementerian dan agensi berkaitan untuk bermuhasabah berkaitan mempersiapkan kedaulatan makanan dan Kadar Tahap Sara Diri (SSL) negara pada tahap optimum.

“Sekiranya senario krisis makanan global dan kenaikan inflasi melanda lagi, Malaysia sekurang-kurangnya tidak akan terjejas teruk,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan juga digesa agar memandang serius kerisauan rakyat bawahan dengan mengusahakan inisiatif yang lebih komprehensif untuk rakyat dan tidak terlampau dengan selesa dengan usaha yang telah dijalankan.