Salah guna logo halal, produk bernilai hampir RM1 juta disita

Seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Alor Setar memeriksa kotak yang mengandungi logo halal Jakim di sebuah kilang di Bukit Pinang, Alor Setar pada Rabu.
Seorang pegawai penguat kuasa KPDNHEP Alor Setar memeriksa kotak yang mengandungi logo halal Jakim di sebuah kilang di Bukit Pinang, Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 20,193 kotak dari sebuah syarikat berasaskan makanan di Bukit Pinang, di sini, pada Rabu selepas didapati menyalahgunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah KPDNHEP Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi berkenaan dilakukan sepasukan 10 pegawai penguat kuasa dari Pejabat KPDNHEP Alor Setar selepas menerima maklumat daripada Jakim bahawa Pensijilan Halal Malaysia yang pernah diluluskan kepada syarikat itu telah ditarik balik kerana telah melanggar Prosedur Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi boleh menggunakan logo halal Jakim pada kesemua produk dikeluarkan.

Bagaimanapun menurutnya, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati hampir kesemua produk yang telah siap dibungkus dan dimasukkan dalam kotak dengan logo halal Jakim dalam pemeriksaan itu.

“Tindakan syarikat yang masih menggunakan logo halal Jakim tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Sehubungan itu, kesemua produk yang telah dilabelkan dengan logo halal disita untuk tindakan lanjut atas kesalahan tersebut dengan jumlah sitaan 20,193 kotak dengan nilainya dianggarkan RM906,609,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat, syarikat tersebut telah beroperasi sejak lebih 10 tahun lepas, manakala kebanyakan produk keluaran syarikat tersebut berupa biskut telah diedarkan untuk pasaran ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Affendi memberitahu, kes terbabit akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan katanya, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan yang pertama.