Dr Streram konsisten tegak keadilan: Dr Wan Azizah

Dr Wan Azizah ketika tiba di Pusat Penamaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Seri Sendayan untuk mengiringi calon PH, Dr S Streram pada hari penamaan calon bagi PRK DUN N27 Rantau hari ini. -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan calon Pakatan Harapan bagi PRK DUN Rantau sebagai seorang yang konsisten dalam menegakkan keadilan untuk rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata di atas perjuangannya yang berterusanlah akhirnya kerusi DUN berkenaan dipertandingkan semula.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH berkata pada PRU14 yang lepas, telah berlaku ketidakadilan apabila PH dinafikan hak untuk bertanding, seterusnya menyaksikan calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan menang tanpa bertanding.

"Sebab itu kes ini dibawa ke mahkamah dan mahkamah putuskan bahawa memang ada asas, sebab itulah PRK berlaku pada kali ini

"Kita mohon agar berilah peluang dan undi kepada kita, memenangkan calon kita yang mahukan keadilan dan teruskan perjuangan walaupun telah dinafikan pada masa dahulu dan dikatakan kalah, namun dia terus mencapai keadilan demi rakyat," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan PRK berkenaan selesai, hari ini.

Turut bersama dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof, Naib Presiden DAP M. Kula Segaran dan Dr Streram.

Pada PRK berkenaan Dr Streram akan berhadapan Mohamad yang mewakili Barisan Nasional dan dua calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata jentera dari keempat-empat parti komponen PH telah bertapak di kawasan masing-masing dan memulakan tugas.

Katanya, PH akan memberi fokus kepada tiga perkara termasuk mengajak rakyat memberi dokongan penuh kepada PH dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berjaya mengekang keterlanjuran besar rasuah negara.

Selain itu, katanya jentera akan turut bergerak aktif memberi penjelasan mengenai projek-projek di peringkat negeri dari segi pertolongan kepada rakyat miskin dan penyediaan kemudahan asas yang jauh lebih baik dari kerajaan terdahulu, termasuk di Rantau.

"Ketiga, khusus untuk Rantau, kita lihat ia satu kawasan berhampiran dengan Kuala Lumpur yang mempunyai potensi besar tapi telah terabai walaupun dikuasai Barisan Nasional sekian lama," katanya.

Turut bersetuju ialah Muhyiddin yang melihat PRK ini satu peluang baik untuk jentera PH menjelaskan kepada rakyat apa yang diperjuangkan kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.

"Kerana sebelum ini ada beberapa perkara yang diputar belit pembangkang menyebabkan rakyat salah faham dengan apa diperjuangkan kerajaan PH. Peluang ini kita akan gunakan untuk jelaskan dengan lebih terperinci.

"Kita ambil sikap lebih ofensif... kerana saya tak fikir kita perlu bersikap defensif seolah-olah apa dilakukan kerajaan sebelum ini tak beri faedah kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Kula Segaran dan Mujahid masing-masing senada mahu supaya sentimen bangsa dan agama tidak digunakan sama sekali sepanjang kempen PRK berkenaan.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal. -Bernama