Sila log masuk terlebih dahulu.

Pasukan bola sepak Selangor 1995 terima hadiah rumah

Amirudin (tengah) ketika hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Abadi di Semenyih di sini pada Jumaat
Amirudin (tengah) ketika hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Abadi di Semenyih di sini pada Jumaat
A
A
A

KAJANG - [DIKEMAS KINI] Selangor bakal menghadiahkan 31 buah rumah bernilai RM250,000 setiap unit kepada pasukan bola sepak Selangor yang menjulang tiga piala pada tahun 1995.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, unit Rumah Idaman Abadi di Semenyih itu akan diserahkan kepada pasukan bola sepak berkenaan pada Ogos depan.

Menurutnya, perjanjian dibuat kerajaan terdahulu itu diketahui selepas wakil mereka bertemu beliau memaklumkan perkara berkenaan pada tahun lepas.

"Mengikut perjanjian tahun 1995, pemain bola sepak era itu dijanjikan tanah selepas menang tiga piala iaitu Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.

"Apabila disemak, memang ada dalam mesyuarat kerajaan negeri pada tahun itu dan diluluskan kebenaran pada tahun sama," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Abadi di Semenyih di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Datuk Dr Juhari Ahmad serta Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail.

Amirudin berkata, perkara berkenaan kemudian dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kemudian meluluskan pemberian rumah menggantikan hadiah tanah yang dijanjikan sebelum ini.

"Mereka ucap terima kasih, setidak-tidaknya impian selama 27 tahun dapat ditunaikan oleh kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rumah Idaman Abadi berkeluasan 1,000 kaki persegi dilengkapi kemudahan dua parkir, penyaman udara di tiga bilik tidur, kabinet dapur, televisyen, peti sejuk, pemanas air dan almari pakaian.

Pada November 1995, pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia buat kali ke-28 selepas menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 di Stadium Shah Alam.

Susulan itu, kerajaan negeri ketika itu menjanjikan ganjaran sebidang tanah berkeluasan 0.4 hektar kepada setiap pemain dan pegawai pasukan Selangor.