Sila log masuk terlebih dahulu.

Penghuni Rumah Pangsa Seri Berembang diarah berpindah

Noraini (berdiri) memberi taklimat kepada penduduk Rumah Pangsa Seri Berembang berkaitan isu yang melibatkan penghuni dan pemilik di situ.
Noraini (berdiri) memberi taklimat kepada penduduk Rumah Pangsa Seri Berembang berkaitan isu yang melibatkan penghuni dan pemilik di situ.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Penghuni di Rumah Pangsa Seri Berembang di sini diarah berpindah setelah pihak perunding bangunan yang dilantik Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapati struktur bangunan tersebut tidak selamat didiami.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, satu pertemuan khas melibatkan sesi taklimat kepada pemilik dan penduduk telah diadakan pada Khamis berhubung kerosakan struktur bangunan berkenaan.

Menurutnya, pihak perunding bangunan yang dilantik oleh MPK turut membentangkan hasil kajian yang dijalankan selama lapan bulan bermula 6 Julai 2021 sehingga 5 Mei tahun ini dalam pertemuan tersebut.

"Berdasarkan laporan maklum balas teknikal, pemeriksaan struktur bangunan yang disediakan oleh juruperunding merumuskan bahawa Blok A, B dan C tidak selamat didiami serta berisiko kepada penduduk.

"Kerosakan bangunan ini mula dikesan sejak 2008 dan notis pengosongan dikeluarkan kepada 16 unit kediaman di Blok C pada 4 Disember 2019 serta proses pemindahan penduduk dijalankan secara berperingkat bermula 6 Mac 2020," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Norfiza berkata, pemilik dan penduduk akan diberikan notis pengosongan oleh MPK selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Taklimat pada Khamis itu turut dihadiri Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail; Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Turut hadir wakil Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), ketua-ketua dan pegawai jabatan MPK.

Artikel Berkaitan: