Trauma banjir Disember berulang, penduduk sedia berpindah

Kawasan rumah Zurina yang dinaiki air pada jam 5 pagi.
Kawasan rumah Zurina yang dinaiki air pada jam 5 pagi.
A
A
A

SHAH ALAM - Baru enam bulan Selangor ingin pulih daripada bencana banjir yang melanda Disember lalu, kini beberapa kawasan di negeri berkenaan dilanda banjir kilat pada pagi Jumaat.

Lantaran trauma dengan peristiwa pada Disember lalu, beberapa orang mangsa yang pernah mengalami bencana berkenaan berada dalam keadaan bersiapsiaga dan sedia berpindah ke tempat lebih selamat jika banjir bertambah buruk.

Salah seorang mangsa banjir yang tinggal di Taman Bunga Raya di sini, Zurina Mat Sam, 35 mula menyedari rumahnya dinaiki air pada ketinggian 0.25 meter pada jam 5 pagi.

Bahagian dapur dalam rumah Zurina dinaiki air setinggi 0.25 meter pada jam 5 pagi.
Bahagian dapur dalam rumah Zurina dinaiki air setinggi 0.25 meter pada jam 5 pagi.

Oleh itu, dia yang tinggal di sini selama satu setengah tahun terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana kurang senang melihat keadaan rumahnya yang dinaiki air sebanyak dua kali pada minggu ini.

"Kalau air masih tidak surut, saya akan tidur di rumah adik ipar saya di Pelabuhan Klang.

Zurina
Zurina

"Saya harap sistem perparitan di sini diselenggara kerana setiap kali hujan, memang akan banjir. Letih juga kalau begini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagi, Muhd Tarmizi Mohammad, 38 pula, walaupun banjir kali ini tidak seburuk tahun lalu, namun dia dan jiran-jirannya bersedia untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat sekiranya bencana tersebut berlarutan.

Muhd Tarmizi
Muhd Tarmizi

Katanya, bencana banjir pada tahun lalu menyebabkan banyak kerosakan di rumahnya termasuk kereta miliknya yang hingga kini masih belum dibaiki.

"Tahun lalu, air naik pada ketinggian 0.5 meter dan perabot saya rosak sebanyak 90 peratus, termasuk kereta saya yang masih belum dibaiki lagi. Jadi saya guna kereta sewa hingga sekarang.

"Saya dan jiran-jiran di kawasan perumahan sedang bersiap sedia (untuk berpindah jika banjir melanda), dan saya akan hantar isteri dan anak-anak ke rumah mertua di Subang Jaya," katanya yang bekerja sebagai pegawai pemasaran dalam talian.

Pada Jumaat, beberapa buah rumah di dua kawasan dalam daerah Klang dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat selama beberapa jam, pada awal pagi Jumaat.

Kawasan di Kampung Lombong, di sini dinaiki air pada pagi Jumaat.
Kawasan di Kampung Lombong, di sini dinaiki air pada pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor turut memaklumkan seramai 64 mangsa terdiri daripada 11 keluarga diarahkan berpindah dari rumah mereka susulan banjir melanda Jalan Perepat Teluk Panglima Garang, Kuala Langat