Nelayan Vietnam cuba sabotaj, rosakkan bot ketika ditunda

Antara bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam operasi dijalankan Maritim Terengganu, pada Rabu.
Antara bot nelayan Vietnam yang ditahan dalam operasi dijalankan Maritim Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan nelayan Vietnam merosakkan dua bot ketika ditunda untuk dibawa ke jeti selepas ditahan kerana menceroboh perairan negara dalam operasi yang dijalankan pada Rabu, gagal.

Dua bot nelayan asing itu ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat pada jarak 128 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, kira-kira jam 3.20 dan 3.40 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ketika ditunda, kru Vietnam cuba menggagalkan penahanan bot berkenaan daripada dibawa ke jeti namun berjaya ditangani pasukan operasi.

"Cubaan nelayan terbabit untuk mensabotaj dengan merosakkan bot berjaya dikesan dan dihalang oleh pasukan operasi.

"Proses membawa kedua-dua bot tahanan itu ke Jeti Maritim Terengganu mengambil masa lebih 40 jam," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Suffi berkata, seramai 20 kru termasuk tekong berusia antara 18 hingga 54 tahun ditahan bersama hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.

"Kedua-dua bot tersebut disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

"Bot serta 20 kru dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Dalam pada itu Muhammad Suffi berkata, Maritim Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang undang maritim.

"Masyarakat terutama nelayan tempatan diminta melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.