JPJ ingatkan segera perbaharui lesen LLM sebelum 30 Jun

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang telah diberikan pelanjutan tempoh keesahan (kuat kuasa) atau tamat tempoh bermula 13 Januari 2021, perlu memperbaharui lesen mereka sebelum 30 Jun ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

"Ia bagi mengelakkan pemegang LLM tersebut mengambil ujian semula untuk memperbaharui lesen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, permakluman itu dikhususkan kepada mana-mana pemegang lesen yang diberikan Pelanjutan Tamat Tempoh (Keesahan) LLM iaitu Lesen Belajar Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (PSV/GDL), melalui pengecualian di bawah Kaedah 19 Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992.

Menurutnya, Pelanjutan Tamat Tempoh itu diberikan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 fasa pertama yang diumumkan oleh kerajaan mulai 1 Jun 2021 dan diberikan pengecualian oleh Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong) pada 14 Oktober 2021.

Beliau berkata, pemegang LLM perlu segera melakukan transaksi pembaharuan sebelum tempoh akhir pelanjutan bagi mengelak pemegang lesen yang mencapai tarikh luput perlu menduduki semula ujian memandu sebagaimana permohonan lesen baharu memandu, seperti yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992.

Mengikut rekod di pangkalan JPJ, sehingga Rabu lepas jumlah pemegang lesen LDL yang belum memperbaharui lesen mereka adalah sebanyak 904,081, pemegang lesen PDL pula sebanyak 14,216 dan masing-masing bagi pemegang lesen CDL dan PSV/GDL yang belum memperbaharui lesen mereka adalah 197,030 dan 89,809.

Zailani turut mengingatkan pemilik kenderaan untuk memperbaharui LKM mereka sebelum Khamis depan bagi mengelakkan sebarang implikasi tindakan undang-undang mengikut Seksyen 23(1) APJ 1987 kerana LKM tamat tempoh.

Sehingga 30 Jun 2022, katanya, jumlah LKM yang belum diperbaharui bagi tempoh tiga tahun adalah sebanyak 4.4 juta. - Bernama