52.9 peratus kanak-kanak di Pulau Pinang terima dos pertama vaksin

 Ibu bapa di Pulau Pinang diminta membawa anak-anak mereka yang layak untuk mendapatkan vaksin demi perlindungan daripada wabak Covid-19. Foto hiasan
Ibu bapa di Pulau Pinang diminta membawa anak-anak mereka yang layak untuk mendapatkan vaksin demi perlindungan daripada wabak Covid-19. Foto hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Ibu bapa di Pulau Pinang diminta membawa anak-anak mereka yang layak untuk mendapatkan vaksin demi perlindungan daripada wabak Covid-19.

Data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga Khamis menunjukkan sebanyak 52.9 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan satu dos vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam memastikan semua kanak-kanak layak memperoleh perlindungan sewajarnya daripada virus Covid-19, JKNPP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah bekerjasama untuk meningkatkan prestasi PICKids di negeri ini.

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow

Menurutnya, beberapa sesi penerangan secara fizikal dan dalam talian telah dilaksanakan oleh JKNPP dan pejabat kesihatan daerah melibatkan pelbagai agensi termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), sekolah-sekolah swasta, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), sekolah-sekolah agama dan pertubuhan-pertubuhan (NGO) yang berkaitan bukan warganegara.

"Pemberian vaksin telah diberikan di dewan yang dikendalikan oleh pihak swasta, hospital swasta, klinik swasta, klinik-klinik kesihatan malah terdapat juga pasukan bergerak yang pergi ke sekolah untuk pemberian vaksin.

"Susulan itu, pindaan kepada borang kebenaran juga telah dilaksanakan bagi meyakinkan ibu bapa bahawa vaksin adalah selamat, dan sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberikan rawatan sewajarnya kepada pesakit berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, walaupun pusat pemberian vaksin (PPV) telah ditutup bagi 'walk-in', sebanyak 13 klinik kesihatan (KK) awam masih lagi menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin PICKids secara janji temu.

"Klinik-klinik yang tersenarai adalah KK Jalan Perak, Sungai Dua, Jalan Angsana, Air Itam, Jalan Macalister dan Tanjung Bungah (bagi Timur Laut), sementara bagi Barat Daya adalah KK Bayan Baru.

"Bagi Seberang Perai Utara adalah KK Kepala Batas dan Sungai Dua, manakala bagi Seberang Perai Tengah adalah KK Seberang Jaya dan Bunyi Minyak. Untuk Seberang Perai Selatan pula adalah KK Bukit Panchor dan Bandar Tasek Mutiara," katanya.

Tambahnya, bagi klinik swasta, ibu bapa boleh melayari laman sesawang https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find untuk senarai klinik atau boleh menghubungi pihak berkaitan bagi menetapkan tarikh janji temu.