Sembilan individu direkod keterangan kes pukul babit pelakon

Laporan Sinar Harian pada 18 Jun lalu mengenai seorang pelakon ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Laporan Sinar Harian pada 18 Jun lalu mengenai seorang pelakon ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sembilan individu telah direkod keterangan bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan seorang pelakon popular di sebuah kondominium di Segambut, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sembilan individu yang dirakam keterangan termasuk mangsa dan doktor yang merawat mangsa.

"Setakat hari ini (Jumaat), polis sudah mengambil keterangan sembilan individu berhubung kes terbabit.

"Kertas siasatan juga sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya pada Jumaat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pelakon tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya selama tiga hari tamat pada Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, 16 Jun lalu, pelakon terbabit yang juga penghuni di kondominium itu dikatakan menumbuk dan menendang seorang penduduk di kondominium sama.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kemudian telah menahan pelakon itu di kediamannya pada keesokan harinya.