[VIDEO] Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian: Sultan Johor

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A
JOHOR BAHRU - Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah perhimpunan jalanan seperti dicadangkan seorang pemimpin DAP bukannya cara bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian yang membina.

Menerusi hantaran di Facebook, Sultan Ibrahim bertitah suara atau pandangan daripada pelbagai lapisan masyarakat sebaliknya boleh disampaikan kepada kerajaan menerusi pelbagai forum lain.

"Tidak cukup peritkah pengajaran daripada demonstrasi yang menjadi detik hitam dalam sejarah negara kita seperti pada tahun 1969 dan tidak lama dahulu, perhimpunan Bersih? Ia tidak mencapai sebarang matlamat, selain mengakibatkan kekecohan dan kerosakan. Ini bukan cara negara kita... tiada yang menang. Semuanya akan rugi.

"Kita tidak tahu berapa lama kita boleh pulih daripada kesan perhimpunan sebegitu. Undang-undang negara kita mesti dihormati. Janganlah buat kenyataan berbaur hasutan kerana ia tidak membantu, sedangkan ada banyak saluran yang lebih membina untuk menyuarakan pandangan," titah baginda.

Baginda bertitah perhimpunan jalanan juga akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara, menakutkan pelabur asing dan merencatkan pemulihan negara daripada pandemik Covid-19.

"Janganlah buat perhimpunan sebegini. Pertumbuhan negara kita mesti dipupuk melalui dialog yang matang, bukan tindakan yang akan mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara," titah baginda.

Rabu lalu, Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali dilaporkan mencadangkan rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes susulan kenaikan kos sara hidup.

Sheikh Umar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh dipetik sebagai berkata, jika sejuta orang dapat dihimpunkan di tengah Kuala Lumpur, mungkin barulah kerajaan akan membuka mata mengenai kesusahan rakyat. -Bernama