Inflasi makanan meningkat 5.2 peratus

Inflasi makanan terus mencatatkan peningkatan ke paras 5.2 peratus pada bulan lalu, tertinggi sejak November 2011. Foto hiasan
Inflasi makanan terus mencatatkan peningkatan ke paras 5.2 peratus pada bulan lalu, tertinggi sejak November 2011. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Inflasi makanan terus mencatatkan peningkatan ke paras 5.2 peratus pada bulan lalu, tertinggi sejak November 2011, dengan 93 peratus item makanan merekodkan kenaikan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 93 peratus item kumpulan makanan tersebut, 29.4 peratus meningkat dalam julat kurang daripada lima peratus, 37.7 peratus meningkat antara 5 hingga 10 peratus manakala 32.9 peratus meningkat lebih daripada 10 peratus.

Beliau berkata, makanan di rumah dan makanan di luar rumah masing-masing meningkat ketara sebanyak 5.5 peratus dan 5.1 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.

“Sub kumpulan daging mencatatkan peningkatan tertinggi 9.5 peratus pada Mei 2022 (disebabkan oleh permintaan tinggi pada musim perayaan, diikuti kenaikan sayur-sayuran (8.1 peratus), susu, keju dan telur (8.0 peratus), ikan dan makanan laut (4.3 peratus) dan minyak dan lemak (3.7 peratus).

“Manakala kenaikan ketara bagi makanan di luar rumah dapat dilihat bagi nasi berlauk, 8.3 peratus, roti canai (7.8 peratus), makanan berasaskan mee (5.7 peratus) dan masakan ayam (5.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan laporan terkini Indeks Harga Pengguna (IHP), Mei 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada Jumaat.

Mengulas lanjut Mohd Uzir berkata, kos makanan yang meningkat ditambah dengan peningkatan permintaan antara punca kenaikan harga ayam pada kali ini.

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

Menurutnya, ayam yang menjadi komponen terbesar dalam subkumpulan daging, 46.1 peratus meningkat sebanyak 13.4 peratus berbanding 7.5 peratus pada April 2022, dengan purata harga ayam pada Mei 2022 adalah RM9.70 sekilogram berbanding RM8.44 pada Mei 2021.

“Lonjakan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini pula berpunca daripada peningkatan harga baja, kos logistik, kekurangan tenaga buruh dan keadaan cuaca.

“Antara sayur-sayuran yang menunjukkan kenaikan tertinggi tahun ke tahun pada Mei 2022 adalah lada benggala 29.5 peratus, bendi (22.9 peratus), tomato (19.6 peratus), kacang buncis (19.0 peratus) dan bayam (18.5 peratus).

“Selain itu, ikan-ikan yang paling murah dan menjadi pilihan pengguna turut meningkat, antaranya ikan pelaling yang meningkat kepada RM14.04, ikan keli RM10.05 dan ikan kembong RM16.65,” katanya.

Mengulas tentang inflasi di peringkat negeri pula, beliau berkata, Selangor dan Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi, 3.7 peratus, diikuti Kedah, Perlis, Sabah dan Labuan (2.2 peratus), manakala Melaka (2.1 peratus).

“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan ketara bagi inflasi makanan dan minuman bukan alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Putrajaya, 6.7 peratus diikuti Johor (6.0 peratus), Pulau Pinang (5.8 peratus) dan Perak (5.2 peratus).