MARDI terima RM31 juta laksana 14 projek R&D tahun ini

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A
KUCHING - Sebanyak RM31 juta telah diperuntukkan kepada Institut Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia (MARDI) di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi melaksanakan 14 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertanian tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, sehingga Disember tahun lepas, lebih 120 teknologi MARDI berjaya dipindahkan kepada lebih 100 syarikat dan rakan industri menerusi kaedah penjualan terus, pelesenan eksklusif atau tidak eksklusif, selain khidmat konsultasi.

"Kejayaan pemindahan teknologi ini juga diterjemahkan menerusi kemenangan diraih MARDI dalam Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) yang menjadi platform pengiktirafan mengukur pencapaian pengkomersialan teknologi hasil penyelidikan dana kerajaan,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Program Agroinvest Sarawak 2022.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dalam program yang dirasmikan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menurut Haslina, MARDI sentiasa memastikan setiap projek penyelidikannya menghasilkan pengeluaran yang telah disaring dengan kemas dan mempunyai nilai serta daya saing tinggi sebelum diisytiharkan sebagai teknologi sedia untuk dipindahkan kepada golongan sasar, sama ada dalam bentuk kegunaan awam mahupun secara pengkomersialan.

Mengenai program Agroinvest Sarawak ini, Haslina berkata, ia menjadi platform untuk MARDI memperhebat aktiviti promosi teknologi komersial dan untuk kali ini, sebanyak 12 teknologi komersial terpilih telah dibawa ke sini untuk pameran kepada usahawan tani dan orang awam.

"Hadirin juga akan dapat menyaksikan sebanyak 20 teknologi 'public good' atau gunaan awam yang turut dipamerkan untuk manfaat semua,” katanya.

Beliau berkata, MAFI juga berharap program berkenaan dapat memberikan manfaat kepada penduduk tempatan dan pengusaha tani khususnya dalam memperoleh maklumat lanjut tentang teknologi pertanian terbaru yang dibangunkan oleh MARDI. -Bernama