Anggota polis trafik didakwa terima rasuah

Mohd Hanif (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat terhadap pertuduhan rasuah.
Mohd Hanif (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat terhadap pertuduhan rasuah.
A
A
A

MELAKA - Seorang anggota polis trafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat terhadap enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,800 bagi melindungi syarikat lori yang melakukan kesalahan.

Mohd Hanif Mohamad, 36, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut keenam-enam pertuduhan, tertuduh yang berpangkat koperal didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM16,800 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap lori-lori milik sebuah syarikat pengangkutan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu didakwa dilakukan menerusi pindahan dalam talian melalui akaun Maybank milik sebuah syarikat Sivan Sakthi Maju Enterprise antara Januari 2016 hingga Februari tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat mencadangan jaminan RM5,000 bagi semua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu melapor diri pejabat SPRM setiap bulan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada makamah.

Peguam tertuduh, Ishak Mohd Kari memberitahu mahkamah, bahawa tertuduh tidak memiliki pasport serta memohon jaminan rendah kerana tertuduh perlu menanggung keluarga termasuk dua adik yang masih belajar.

Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 berserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Melaka.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan pada 22 Ogos depan untuk serahan dokumen.