X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Sukan Komanwel: Tze Yong sasar bawa pulang pingat

Tze Yong - Foto Persatuan Badminton Malaysia
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menyasarkan untuk membawa pulang pingat buat negara pada penyertaan sulungnya di Sukan Komanwel, Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

Tze Yong dipilih sebagai pengganti kepada pemain profesional negara, Lee Zii Jia selepas pemain itu membuat kejutan menarik diri daripada menyertai temasya berkenaan.

"Tidak kira warna pingat,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pada Khamis.

Walaupun sasaran pingat tidak lagi diletakkan pada perseorangan lelaki namun pemain di ranking ke-48 dunia itu mengakui dia tetap memikul tanggungjawab besar untuk menggantikan Zii Jia di temasya itu.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan cabaran atau lawan bakal dihadapinya nanti sebaliknya, mempersiapkan diri kerana ia adalah peluang terbaik untuknya menyerlahkan potensi sebenar.

Zii Jia yang kini menduduki ranking kelima dunia memutuskan untuk tidak membuat penampilan ke Sukan Komanwel disebabkan jadual padat diharunginya sejak kebelakangan ini selain mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 28 Ogos ini.

Tugas berat menanti Tze Yong apabila dijangka berdepan dua pemain hebat dari India, Lakshya Sen dan Kidambi Srikanth serta juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.

Sementara itu, pengarah kejurulatihan beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui tumpuan kini beralih kepada kategori beregu untuk mencipta kejayaan di Birmingham.

"Kalau kita lihat dari segi sejarahnya, saya rasa peluang beregu itu mungkin ada dan cukup besar...semoga pemain dapat mengawal tekanan serta lebih bersemangat untuk mencipta satu keputusan yang positif,” katanya.

Kategori beregu menyaksikan Malaysia mempunyai peluang meraih pingat menerusi pasangan keenam dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gandingan wanita Pearly Tan-M Thinaah (ranking ke-10) dan pemain berpengalaman, Chan Peng Soon yang digandingkan dengan Cheah Yee See untuk beregu campuran.

Kontinjen negara menyasarkan tujuh emas di Birmingham 2022 dengan dua emas disasarkan menerusi acara badminton selain masing-masing satu daripada gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!