X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Melaka tubuh jawatankuasa khas tangani banjir kilat

Datuk Seri Sulaiman Md Ali
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan membentuk satu jawatankuasa khas di setiap daerah yang akan dianggotai setiap wakil rakyat kerajaan dan pembangkang serta jabatan berkaitan untuk 'duduk semeja' bersama menangani isu banjir kilat yang kerap melanda di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini lebih 20 kawasan dikenal pasti kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat dan ia dipercayai berpunca daripada masalah perparitan.

"Seperti semalam banjir yang berlaku, bukanlah banjir termenung sehingga tiga atau empat hari tetapi limpahan air yang tidak dapat mengalir. Keadaan pulih selepas beberapa jam selain terdapat kawasan yang berulang kali berlaku masalah sebegini pada tahun ini.

"Jadi semalam kami telah berbincang mengenai perkara ini bagi membolehkan semua pihak memberikan cadangan untuk sama-sama menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Sebelum itu, beliau mengadakan lawatan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang turut diiringi Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, setakat ini semua kerja-kerja naik taraf seperti menyelenggara dan menambah baik saliran perparitan sedang dilaksanakan termasuk kawasan kerap berlaku banjir kilat.

"Beberapa kawasan selalu berlaku banjir dulu, seperti di Jasin juga semakin baik dengan kerja-kerja penambaikan dibuat agar penduduk tidak berdepan lagi masalah ini.

"Ada projek-projek sedang dalam pelaksanaan, ada yang di peringkat tender dan insya-ALLAH jika penambahbaikan ini dijalankan kita dapat mengurangkan isu banjir ini,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!