[VIDEO] PRU15 wajar disegerakan untuk bentuk kerajaan lebih stabil

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) wajar disegerakan bagi membentuk tampuk pemerintahan yang lebih stabil sekiranya kerajaan telah bersedia dan bersetuju untuk membubarkan Parlimen.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, segala keputusan bagi memberi laluan kepada proses demokrasi negara bergantung kepada keadaan.

"Memanglah pada dasarnya kita bersetuju PRU diadakan sehingga habis penggal.

"Tetapi, jika dalam keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan, perlu disegerakan PRU itu. Tengok keadaanlah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di sini, pada Jumaat.

Ditanya sama ada keadaan kini perlu kepada PRU, Abdul Hadi berkata, perlu bersedia dahulu.

"Kena ada persediaan, kalau tak ada persediaan tak boleh buat pilihan raya," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan, Pas masih kekal menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam PRU nanti.

Jelasnya, cadangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat supaya Pas bertanding menggunakan logo sendiri adalah pandangan peribadi.

"Itu pandangan peribadi. Sehingga hari ini kita masih memakai simbol PN," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, hubungan antara Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) masih seperti biasa.

"Kita masih teruskan hubungan. Kita pertahankan perpaduan ummah, itu agenda kita. Pertahankan MN, pertahankan PN," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan tarikh sesuai untuk diadakan PRU15 ialah sehingga habis penggal iaitu pada hujung Julai 2023.

Bagaimanapun kata bekas Perdana Menteri itu, Barisan Nasional (BN) dilihat mahu mengambil peluang terhadap parti lawan dengan mengadakan pilihan raya lebih awal supaya mereka mendapat kemenangan.