X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Sunzen sasar capai rekod baharu pendapatan pada FY22

Yek Ming (tiga dari kanan) pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), baru-baru ini.
A
A

SHAH ALAM - Sunzen Biotech Bhd (Sunzen) menyasarkan untuk mencapai rekod pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) disokong oleh permintaan kukuh dalam segmen pembiayaan pinjaman dan segmen perubatan tradisional Cina (TCM).

Kumpulan itu mencatatkan keuntungan tertingginya sebanyak RM3.64 juta pada tahun kewangan 2017 (FY17).

Pengarah Urusan Kumpulannya, Teo Yek Ming berkata, kumpulan itu akan memfokuskan kepada kedua-dua segmen berkenaan, dengan memberi tumpuan kepada Ecolite iaitu anak syarikatnya yang berkaitan kesihatan dan kesejahteraan serta Finsource Credit yang menawarkan kemudahan pembiayaan perniagaan.

“Ini adalah dua anak syarikat yang menunjukkan prestasi yang sangat baik,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), baru-baru ini.

Menurut Yek Ming, segmen TCM kumpulan itu mencatatkan keuntungan RM4.15 juta pada tahun kewangan 2021 (FY21) berbanding keuntungan RM380,000 pada tahun sebelumnya, terutama disebabkan oleh margin produk yang lebih tinggi dan kecekapan operasi seiring dengan pesanan jualan lebih tinggi yang diterima.

Teo Yek Ming
Teo Yek Ming

“Segmen pembiayaan pinjamannya iaitu perniagaan baharu yang dijalankan tahun lalu, mencatatkan keuntungan sebanyak RM1.09 juta bagi tempoh tujuh bulan sehingga 31 Disember 2021 dengan memperoleh RM1.75 juta dalam pendapatan,” jelasnya.

Yek Ming berkata, melalui segmen kesihatan haiwan, oleh kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan penggunaan antibiotik ke atas haiwan, Sunzen mengambil peluang untuk membangunkan produk alternatif kepada antibiotik haiwan dan sedang mencipta produk berkualiti yang memfokuskan kepada pengurusan kesihatan usus seperti Orgacids Revolution.

Beliau menjelaskan, jika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan untuk melaksanakan larangan penggunaan antibiotik ke atas haiwan, ia akan memberikan peluang yang baik bagi kumpulan Sunzen untuk menjana keuntungan melalui produknya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Sunzen merancang untuk melancarkan produk kawalan virus bernama Optishield iaitu produk bagi mengekang wabak virus baru-baru ini yang dihadapi oleh beberapa ladang tempatan.

“Segmen kesihatan haiwan akan terus mengukuhkan pasaran eksport dengan mempromosikan produk Biosekuriti Feed sedia ada, Orgacids dan memperkenalkan lebih banyak produk kepada rakan kongsi perniagaan di luar negara

"Untuk segmen TCM, Sunzen menjangkakan nilai eksport sarang burung ke China akan pulih memandangkan peningkatan pesanan jualan yang diterima dalam talian,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!