Tidak tahan lagi hidu bau najis lembu

Beberapa ekor lembu dilihat berkeliaran di kawasan Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh di Kampung Padang Lalang.
Beberapa ekor lembu dilihat berkeliaran di kawasan Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh di Kampung Padang Lalang.
A
A
A

TEMERLOH - Pelajar Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh di Kampung Padang Lalang di sini tidak tahan lagi dengan bau busuk najis lembu susulan haiwan itu berkeliaran tidak mengira masa di kawasan tersebut.

Mudirnya, Mohd Zarimi Shubrawi berkata, sejak enam bulan lalu antara 10 dan 15 ekor lembu berkeliaran di kawasan maahad itu terutama di kawasan padang bola.

"Setakat ini tidak diketahui pemilik lembu-lembu tersebut. Bagaimanapun kami sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan dan ketua kampung. Jadi, kami menunggu tindakan sewajarnya berkenaan masalah ini kerana ia menjejaskan pihak maahad khususnya pelajar kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari," katanya kepada Sinar Harian, pada Jumaat.

Menurut Mohd Zarimi, terdapat seramai 61 pelajar dan 14 kakitangan di maahad berkenaan.

Kelihatan banyak tompokan najis lembu di padang bola Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh di Kampung Padang Lalang hingga menyukarkan pelajar melakukan aktiviti riadah.
Kelihatan banyak tompokan najis lembu di padang bola Maahad Tahfiz Al-Istiqamah (MTIS) Temerloh di Kampung Padang Lalang hingga menyukarkan pelajar melakukan aktiviti riadah.

Katanya, pihak maahad terpaksa membuang sendiri najis-najis lembu itu untuk keselesaan mereka.

"Pelajar juga tidak dapat melakukan aktiviti riadah di padang tersebut kerana kehadiran lembu dan najis haiwan itu.

"Justeru, kami harap pemilik kesemua lembu itu bertanggungjawab dengan memastikan haiwan ternakan mereka tidak berkeliaran sehingga memberi pelbagai masalah kepada pihak lain," katanya.