Singapura sumbang AS$50,000 bantuan kemanusiaan ke Afghanistan

Penduduk di perkampungan Ghurza, Afghanistan melalui runtuhan rumah yang musnah dalam gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda daerah Bermal, wilayah Paktika. Foto AFP
Penduduk di perkampungan Ghurza, Afghanistan melalui runtuhan rumah yang musnah dalam gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda daerah Bermal, wilayah Paktika. Foto AFP
A
A
A
SINGAPURA - Singapura akan menyumbang AS$50,000 bagi menyokong usaha Palang Merah Singapura mengumpul dana awam bagi tujuan bantuan kemanusiaan ke Afghanistan yang dilanda gempa bumi kuat pada 22 Jun.

Menurut Kementerian Luar republik itu, sumbangan itu akan menyokong komitmen Palang Merah Singapura sebanyak S$50,000 bagi memperoleh bekalan perubatan yang diperlukan dengan kadar segera termasuk keperluan asas lain.

"Singapura mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” tambah kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Dilaporkan bahawa jumlah kematian akibat gempa bumi yang menggegarkan Afghanistan telah meningkat melebihi 1,000 orang, dengan lebih 1,500 yang lain cedera.

Paktika dan Khost merupakan wilayah paling teruk terjejas dengan ratusan kediaman musnah akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda kawasan itu.

Pegawai Taliban juga dilaporkan telah meminta bantuan segera disalurkan ke kawasan yang terjejas. -Bernama