Program 'Wanita Bangkit' dapat pujian, beri impak kepada komuniti

Rina (empat dari kiri) bergambar bersama delegasi Malaysia pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Kepimpinan Wanita Global di Bangkok pada Khamis. Turut hadir Naib Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global (GSW), Kobkarn Wattanavrangkul (empat kanan). - Foto Bernama
Rina (empat dari kiri) bergambar bersama delegasi Malaysia pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Kepimpinan Wanita Global di Bangkok pada Khamis. Turut hadir Naib Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global (GSW), Kobkarn Wattanavrangkul (empat kanan). - Foto Bernama
A
A
A
BANGKOK - Program 'Wanita Bangkit' yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima pujian pada Sidang Kemuncak Wanita Global (GSW) 2022 kerana berjaya memberi impak kepada masyarakat.

Presiden GSW, Irene Natividad berkata, inisiatif itu secara khusus menyasarkan suri rumah, balu dan ibu tunggal untuk melatih mereka berdikari membangun ekonomi.

"Program ini juga membuka lembaran baharu bagi golongan itu agar mereka dapat menyara kehidupan. Ia program hebat yang melatih wanita untuk memulakan perniagaan sehingga mampu berdikari dari segi ekonomi,” katanya.

Sebelum itu, Natividad menjadi moderator sesi Meja Bulat peringkat Menteri-menteri mengenai Perkongsian Sektor Awam/Swasta Dalam Memajukan Peluang Ekonomi untuk Golongan Wanita dan Remaja di sini, pada Khamis.

Sesi itu memberi peluang kepada perwakilan untuk berkongsi mengenai program kerjasama kerajaan dan sektor perniagaan bagi meningkatkan peluang ekonomi wanita.

Natividad berkata, sesi itu juga menjadi platform untuk peserta "bertukar-tukar resipi" bagi memperkasakan wanita dan remaja.

Sementara itu, bekas setiausaha Kementerian Luar Filipina, Delia Domingo Albert turut memuji program Wanita Bangkit kerana menjaga kebajikan wanita yang memerlukan dan memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan serta peluang pekerjaan.

"Ideanya bagus. Saya memuji program itu kerana ia mengenal pasti wanita yang memerlukan bantuan, memastikan mereka mempunyai masa depan lebih baik melalui pemerkasaan ekonomi,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun membentangkan program Bangkit Wanita pada sesi meja bulat itu.

GSW ialah forum antarabangsa utama dunia yang menghimpunkan pemimpin wanita dari seluruh dunia.

Rina berkata, sehingga Jun tahun ini program itu telah membantu lebih 35,000 wanita.

Menurutnya, program itu mula dilaksanakan ketika beliau dan KPWKM berhasrat menghulur bantuan kepada wanita yang bergelut menampung kehidupan semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata, peserta meja bulat telah menunjukkan minat mendalam untuk belajar dari Malaysia kerana program itu bukan sahaja membantu wanita yang memerlukan tetapi memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

"Kita mahu bantu lebih ramai wanita keluar dari kepompong kemiskinan dan memberi bimbingan agar mereka terus bangkit,” katanya.

Menurutnya, kementerian bercadang untuk memperluas inisiatif itu menerusi kerjasama dengan lebih ramai rakan strategik daripada pelbagai industri bagi memastikan tiada yang ketinggalan.

Program yang dilancarkan pada September tahun lalu itu berjaya merapatkan hubungan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 7,520 wanita serta mempersiapkan 34,225 wanita dengan ilmu pengetahuan khususnya, membabitkan pengurusan kewangan yang menjana hampir RM41 juta ekonomi Malaysia. - Bernama