200 pokok ditanam di Khazanah Rimba

Sukarelawan dari IWK dan kumpulan anak muda menanam pokok-pokok di Khazanah Rimba, Pantai Eco Park bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.
Sukarelawan dari IWK dan kumpulan anak muda menanam pokok-pokok di Khazanah Rimba, Pantai Eco Park bersempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd (IWK) bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) terus menjaga kepentingan hutan dalam bandar yang dikenali sebagai 'Khazanah Rimba' di Pantai Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

IWK dalam satu kenyataan berkata, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 yang bertemakan Hanya Satu Bumi pada tahun ini, IWK dan MNS telah bekerjasama dengan kumpulan anak muda dari rumah kebajikan dan komuniti setempat menerusi kempen 'Adopt a Tree'.

“IWK dan MNS memulakan semula aktiviti penanaman pokok selepas ia dihentikan sementara ketika pandemik. Ia turut didorong oleh penyertaan orang ramai yang semakin meningkat untuk menyumbang dalam usaha menanam pokok-pokok hutan di taman tersebut.

“Kerjasama sosial antara IWK dan badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar ini juga memperkukuhkan lagi potensi penggunaan bi-produk IWK untuk memelihara alam sekitar khususnya dalam penggunaan biopepejal sebagai baja ke atas pokok-pokok hutan ini,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Sukarelawan dari IWK dan kumpulan anak muda di Khazanah Rimba, Pantai Eco Park, Pantai Dalam.
Sukarelawan dari IWK dan kumpulan anak muda di Khazanah Rimba, Pantai Eco Park, Pantai Dalam.

Menurut IWK, pada minggu lepas, sebahagian daripada inisiatif IWK Cares, pihak syarikat telah menjemput 40 pelajar dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Ampang serta masyarakat setempat di sekitar kawasan Pantai Dalam untuk menanam pokok-pokok hutan serta mendengar taklimat daripada pihak IWK dan MNS mengenai kepentingan melindungi alam sekitar.

“Sebanyak 200 pokok hutan telah didermakan minggu lalu daripada syarikat swasta, CTC Global Sdn Bhd (CTCG) serta kakitangan IWK, di mana beberapa anak pokok telah ditanam daripada benih yang diusahakan di makmal Pusat Penyelidikan Indah Water.

“Sejak Kempen 'Adopt a Tree' diperkenalkan pada tahun 2020, sebanyak 400 pokok hutan telah ditanam di Khazanah Rimba, dengan kira-kira 100 batang pokok lagi disasarkan untuk ditanam di kawasan tersebut hujung tahun ini,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, IWK dan MNS berusaha untuk menghijaukan semula kawasan tersebut dengan memberi perlindungan kepada spesies fauna dan mengubah taman tersebut menjadi pusat komuniti serta pendidikan mengenai alam sekitar.

Kumpulan anak muda sedang mendengar taklimat ringkas pada pameran mini dan aktiviti kuiz berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
Kumpulan anak muda sedang mendengar taklimat ringkas pada pameran mini dan aktiviti kuiz berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

“Visi kami adalah untuk membangunkan masa hadapan yang mampan serta menyemarakkan lagi peluang pembangunan sosioekonomi seperti rangkaian sosial dan pendidikan demi persekitaran komuniti yang lebih baik,” katanya.

Narendran berkata, aktiviti penanaman pokok itu akan menggalakkan lagi penggunaan salah satu produk sampingan IWK biopepejal sebagai perapi tanah atau baja untuk memperbaiki keadaan tanah dan meningkatkan pertumbuhan tanaman bukan makanan dan tumbuhan hiasan.

“Biopepejal ini dihasilkan menerusi proses rawatan kumbahan yang berkualiti tinggi daripada loji rawatan kumbahan IWK,” katanya.

Kempen itu terbuka kepada orang ramai dan bayaran sumbangan bagi setiap pokok adalah berjumlah RM140.