X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

FAMA Pahang tubuh pasukan CDERT

Saiful (depan, dua dari kanan) bersama kakitangan FAMA Pahang yang mengikuti kursus asas CDERT di bawah kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang pada Khamis. - Foto FAMA Pahang
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang mengambil langkah awal dengan menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) bagi memberi ilmu bantuan awal kecemasan kepada kakitangannya dalam membantu mangsa bencana di negeri ini.

Pengarahnya, Saiful Sadri berkata, kumpulan pertama terdiri daripada 48 kakitangan dari semua peringkat telah dihantar menjalani kursus asas CDERT di bawah kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang.

Menurutnya, semua pegawai terlibat berjaya menamatkan kursus asas itu pada Khamis.

"Bilangan anggota CDERT FAMA Pahang akan ditambah secara berperingkat dengan sasaran 70 anggota tahun ini.

"Antara objektif penubuhan pasukan ini selain membantu mangsa bencana, pasukan ini juga dapat memperkuatkan tindakan kepada kumpulan sasar dalam melaksanakan tugas semasa bencana terutama banjir yang sering melanda pada musim tengkujuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Saiful sebelum itu hadir pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas CDERT FAMA Negeri Pahang di Pejabat APM Pahang di sini, pada Khamis.

Saiful berkata, penubuhan CDERT FAMA dilancarkan pada Disember tahun lalu dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).

"FAMA juga telah dilantik dan diberi tanggungjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk disalurkan ke seluruh negara apabila berlaku bencana.

"Atas dasar itu, kakitangan FAMA perlu dilatih dan diberikan kemahiran untuk membantu jabatan serta pihak berkuasa berkaitan bantuan dan pertolongan kecemasan kepada kumpulan sasar.

"Latihan ini juga merupakan elemen dalam meningkatkan mutu penyampaian peranan FAMA sebagai agensi pelaksana pemantapan jaminan bekalan makanan semasa krisis dan bencana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah APM Pahang, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Wan Ab Rahim Wan Sulaiman berkata, pihaknya amat mengalu-alukan langkah awal FAMA Pahang dalam menubuhkan Pasukan CDERT FAMA di negeri ini.

"Pasukan CDERT FAMA dapat membantu penugasan anggota APM yang terhad terutama ketika menghadapi bencana dan kecemasan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!