Lelaki curi kabel ditahan polis

No Image Caption
A
A
A

REMBAU - Kegiatan mencuri kabel di daerah ini tumpas apabila polis berjaya menahan seorang lelaki pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, suspek di tahan oleh sepasukan anggota dari Cawangan Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di tepi Jalan Kampung Solok Jelawai pada jam 11 pagi.

"Siasatan awal mendapati, suspek pernah bekerja sebagai kontraktor TM dan melakukan jenayah mencuri kabel seorang diri dengan menyasarkan kabel-kabel yang tidak aktif dan mudah dipotong.

"Suspek dipercayai menggunakan motosikal bagi membawa kabel yang telah dipotong untuk dijual," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, ketika tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah dilakukan iaitu sebuah motosikal, tukul besi, pisau pemotong daging dan sejumlah kabel yang telah dipotong.

Hazri berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan narkotik.

"Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan dua kes cuti kabel di daerah Rembau dan dua kes di Seremban.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,"katanya.

Sementara itu, beliau berkata, polis mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Rembau di talian 06-6851999.