X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Kes seleweng minyak masak wajib dibanteras

Gambar hiasan
A
A

PENDEDAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diseleweng oleh pihak industri, komersial dan mudah diseludup ternyata mengejutkan ramai pihak.

Walaupun kerajaan telah menarik subsidi minyak masak botol bermula 1 Julai ini, kerajaan seharusnya tidak membiarkan mereka yang terlibat terus bebas kerana dikhuatiri akan beralih kepada minyak masak peket pula.

Kegiatan berkenaan haruslah disiasat dengan teliti dan kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas terhadap pihak atau individu yang melakukan penyelewengan minyak masak berbotol sebelum ini.

Selain itu, boleh dipertimbangkan pindaan undang-undang dengan mengenakan hukuman lebih keras supaya isu penyelewengan dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.

Ia juga bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak terlibat dengan kegiatan itu.

Pemantauan juga haruslah kerap dilakukan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras kegiatan itu.

Tidak terkecuali juga pengguna seharusnya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya melihat atau mengetahui kegiatan tersebut, melaporkannya dengan segera kepada KPDNHEP.

Dalam kes penyelewengan yang berlaku sebelum ini, penjenayah melakukan pelbagai cara untuk menyeleweng minyak masak.

Contohnya pada minggu lalu apabila sebanyak 17.5 tan metrik minyak masak bersubsidi dan peralatan digunakan untuk menyeleweng dianggarkan bernilai RM98,750 dirampas dalam serbuan dilakukan di sebuah rumah sewa di Batu Sembilan, Sandakan.

Dalam serbuan jam 4.30 petang, KPDNHEP Sandakan juga berjaya menahan seorang lelaki yang juga ahli kumpulan sindiket terbabit.

Ketua Pegawai KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, sebelum serbuan dijalankan pihaknya mendapati terdapat sekumpulan individu sedang sibuk memotong plastik minyak masak bersubsidi dalam pek satu kilogram.

Azdy berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi digunakan suspek ialah dengan mendapatkan bekalan minyak masak dalam pek bersubsidi lalu diisi dalam tangki minyak.

Minyak masak peket. - Foto Bernama
Minyak masak peket. - Foto Bernama

Pada Mac tahun ini, KPDNHEP juga melaporkan bahawa menerusi Op Goreng mengesan sebanyak 401 kes penyelewengan pembekalan minyak masak termasuk bersubsidi dengan nilai rampasan RM15.57 juta bagi tempoh 2013 hingga Februari lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kes-kes berkenaan dikesan hasil tindakan penguatkuasaan KPDNHEP ke atas pelbagai peringkat rantaian pengedaran seperti pengilang, pemborong dan peruncit.

Kes-kes penyelewengan berkenaan jika tidak diatasi akan menyebabkan negara kehilangan wang yang banyak manakala golongan sasar pula terus tercicir daripada menerima bantuan.

Seperti yang dijelaskan Perdana Menteri, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi satu, dua, tiga dan lima kilogram pada Ogos 2021 untuk membantu rakyat yang kesusahan.

Katanya, program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.

“Walau bagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” katanya.

Maka, sama-samalah kita bekerjasama dengan pihak berkuasa agar bukan sahaja perkara ini dapat dibanteras dan memastikan golongan yang benar-benar layak mendapat hak mereka.

*Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid ialah wartawan Sinar Harian


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!