X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Undang-undang pendanaan politik dapat bendung rasuah: Majlis Peguam

Karen Cheah Yee Lynn. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Penggubalan undang-undang pendanaan politik akan menjadi permulaan baik untuk membendung gejala rasuah dan ketidakcekapan dalam peraturan sistem pilihan raya negara, demikian menurut badan peguam negara.

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berkata, pada masa ini kecuali peruntukan lapuk Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiada undang-undang di Malaysia untuk mengurus pendanaan politik, sekali gus mewujudkan ekosistem yang matang untuk amalan rasuah.

"Wujud peraturan derma tanpa penama atau derma daripada sumber asing," katanya dalam ucapan perasmian persidangan bertajuk Ákta Pendanaan Politik, Status Semasa, Cabaran dan Hala Tuju ke Hadapan' anjuran bersama Majlis Peguam dan Institusi bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di sini, pada Khamis.

"Parti politik diurus mengikut peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan perlu mengemukakan laporan audit kewangan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, tanpa keperluan mendedahkan sumber sumbangan derma yang diterima mereka.

"Lompang dalam perundangan ini turut merangkumi kekurangan undang-undang jenayah yang berkesan dan kuasa penguatkuasaan yang mencukupi dalam Suruhanjaya Pilihan Raya dan ini mencetus sebahagian masalah menyumbang kepada kekaburan institusi politik.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak asing dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan wang oleh mereka yang memegang jawatan.

"Malaysia berkisar dengan berita berhubung rasuah dan sejak 2015, berpalit dengan kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kita masih bergelut dengan kesan selepas skandal itu sehingga hari ini.

"Oleh itu, undang-undang berkaitan perlu dikaji dan dipinda. Majlis Peguam secara konsisten berpegang pada hakikat bahawa kami memerlukan undang-undang untuk mengurus pembiayaan politik dan menggesa undang-undang tersebut digubal," katanya.

Karen Cheah juga berkata, bahawa undang-undang sedemikian akan menetapkan had perbelanjaan oleh calon dan parti, meningkatkan pendedahan awam dan mengawal selia dengan betul struktur pendanaan politik dalam pilihan raya umum atau pemilihan parti.

Beliau menyatakan bahawa banyak negara lain termasuk Singapura, India, Amerika Syarikat dan United Kingdom telah menggubal undang-undang terperinci dan canggih yang menentukan penerimaan tingkah laku ahli politik dan parti politik.

Karen Cheah menjelaskan isu berkaitan pendanaan politik merangkumi pelbagai aspek, rumit serta mengundang banyak halangan dan tiada jawapan atau solusi khusus untuk mengubah landskap politik negara dengan sekelip mata.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan iltizam politik dan strategi tersusun, undang-undang sewajarnya boleh digubal bagi memastikan pilihan raya yang lebih bersih dan adil.

"Selain itu, ada keperluan keupayaan lebih luas untuk orang ramai mengambil bahagian dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada mereka dan pihak berkuasa berkaitan mendengar suara kebimbangan rakyat demi menggalakkan akauntabiliti dan membina keyakinan," katanya.

Pada 19 Mei lalu, Perdana Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik secara dasarnya telah dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!