Nadal teruja dapat beraksi di gelanggang rumput

Rafael Nadal
Rafael Nadal
A
A
A

JAGUH tenis Sepanyol, Rafael Nadal menyifatkan perlawanan pertunjukan yang diharunginya di Kelab Hurlingham pada Khamis merupakan persediaan terbaik bagi menghadapi Kejohanan Wimbledon hujung bulan ini.

“Sudah agak lama saya tidak bermain di gelanggang rumput sejak 2019. Kemudian arena sukan tenis mengharungi detik-detik sukar dengan pandemik Covid-19, sebelum saya mengalami kecederaan tahun lalu.

“Namun, apabila dapat beraksi dalam beberapa perlawanan di gelanggang rumput seperti ini, ia secara tidak langsung membantu saya mempersiapkan diri sebelum mengharungi Kejohanan Wimbledon,” kata Nadal yang juga pemegang rekod 22 gelaran Grand Slam.

Untuk rekod, bekas pemain nombor satu dunia itu akan tampil pada Kejohanan Wimbledon dalam percubaannya merangkul kejuaraan Grand Slam ketiga berturut-turut musim ini.

Sebelum ini, Nadal mengungguli Terbuka Australia dan Terbuka Perancis dan jika menjuarai Kejohanan Wimbledon akan menyaksikannya selangkah menjadi pemain pertama memenangi semua empat kejuaraan utama dalam tempoh semusim yang kali terakhir dilakukan Rod Laver pada 1969.

Untuk rekod, Nadal tidak bermain dalam perlawanan kompetitif di gelanggang rumput sejak kekalahannya kepada Roger Federer dalam aksi separuh akhir Wimbledon 2019.