Buku sempena ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India dilancarkan

Vigneswaran (dua kiri) bersama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia BN Reddy (tengah) di majlis pelancaran buku 'ASEAN-India: Strengthening Partnership and Post-Pandemic Future' sempena 30 tahun hubungan ASEAN-India yang diadakan di Taman Botani Perdana, pada Khamis. - Foto Bernama
Vigneswaran (dua kiri) bersama Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia BN Reddy (tengah) di majlis pelancaran buku 'ASEAN-India: Strengthening Partnership and Post-Pandemic Future' sempena 30 tahun hubungan ASEAN-India yang diadakan di Taman Botani Perdana, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buku bertajuk 'ASEAN-India: Strengthening Partnership and Post-Pandemic Future' yang dilancarkan sempena ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN-India, mengetengahkan bagaimana kedua-dua pihak boleh mengambil langkah seterusnya untuk membina dan mengukuhkan kerjasama dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Buku setebal 239 muka surat itu disunting oleh Profesor Prabir De dari Pusat India ASEAN dan Pengarah Eksekutif Pusat Pengajian ASEAN di Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Thailand Dr Suthiphand Chirathivat, antara lain memuatkan isu mengenai aspek kritikal kesan perubahan landskap global terhadap hubungan ASEAN-India dalam tempoh pasca Covid-19.

Duta khas ke India dan Asia Selatan, Tan Sri SA Vigneswaran, dalam ucapannya ketika melancarkan buku itu berkata buku itu mengandungi inisiatif politik serta ekonomi baharu serantau dan global, selain kepentingan Revolusi Perindustrian Keempat mengenai kerjasama masa depan.

"Tiga puluh tahun telah berlalu sejak hubungan ASEAN-India terjalin, memperlihatkan beberapa pencapaian seiring masa, memberi kesan kolektif yang besar terhadap pembinaan komuniti.

"Justeru itu, Malaysia ingin mengulangi komitmennya untuk mengekalkan dan memperkukuh perkongsian teguh antara ASEAN dan India," kata Vigneswaran, yang juga presiden MIC.

Majlis pelancaran buku itu dianjurkan ASEAN India Business Council (AIBC) pada Khamis.

Turut hadir pengerusi bersama AIBC Datuk Ramesh Kodammal dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy.

Vigneswaran memuji AIBC kerana mengambil inisiatif menghasilkan buku dengan memuatkan kompilasi kertas kajian yang telah dibentangkan pada sesi Meja Bulat Rangkaian Pemikir ASEAN-India (AINTT) keenam, di saat negara memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memerangi wabak Covid-19.

Beliau berharap India akan terus menggunakan mekanisme yang diterajui ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), dan Forum Serantau ASEAN (ARF) untuk mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan bersama serta meningkatkan kerjasama praktikal dalam kalangan pihak berkepentingan di rantau ini.

Sementara itu, Ramesh dalam ucapannya menzahirkan keyakinan masih banyak lagi yang boleh dilakukan ASEAN dan India untuk memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.

"Adalah penting bagi ASEAN dan India menyegerakan kajian semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India.

"Saya difahamkan kertas kerja telah disediakan untuk semakan dan ia masih menunggu pengesahan daripada semua pihak terlibat," katanya.

Buku itu dijual dengan harga RM250 senaskhah, maklumat lanjut boleh e-mel kepada info.asean.aibc@gmail.com. - Bernama