Muda konsisten sokong idea khemah besar

Amira Aisya. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Amira Aisya. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sentiasa konsisten dalam menyokong idea khemah besar yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini disebabkan partinya percaya untuk menjadi kerajaan yang menunggu memerlukan parti-parti lain dalam membentuk sebuah khemah besar.

"Tetapi sebelum itu, amat penting untuk kita jelaskan sendiri khemah besar itu siapa yang boleh masuk.

"Bagi kami di Muda, khemah besar ini perlulah parti-parti yang berkongsi prinsip sama dan ideologi sama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program 'Berani Semuka: Khemah Besar Realiti atau Fantasi' yang turut menampilkan Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan dikendalikan oleh Ahmad Fahmi Mohd Samsudin di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, pihaknya mendokong prinsip khemah besar ini adalah kerana percaya untuk membina negara perlu bersama dengan rakan-rakan seperjuangan.

Program Berani Semuka bertajuk 'Khemah Besar: Realiti atau Fantasi' menampilkan Fadwah (kiri) dan Amira Aisya yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Berani Semuka bertajuk 'Khemah Besar: Realiti atau Fantasi' menampilkan Fadwah (kiri) dan Amira Aisya yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Khamis. - Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Kalau kita lihat sejarah Malaysia pun, tidak ada sejarah yang menceritakan sesebuah parti itu boleh membina negara secara sendirinya. Sedangkan Barisan Nasional (BN) itu sendiri dibentuk daripada tiga parti yang berbeza," katanya.

Selain itu tambahnya, terdapat ramai bakat-bakat besar dalam setiap parti dalam PH yang boleh membentuk negara bersama.

"Dalam parti-parti pembangkang sebagai contoh DAP, PKR, Amanah ada ramai bakat-bakat besar yang boleh menyumbang idea mereka dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, bermaruah, maju dan beramanah.

Dalam pada itu, Amira Aisya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa turut memberikan ciri-ciri parti yang perlu berada dalam khemah besar ini.

Beliau berkata, pertamanya parti-parti ini perlulah meraikan kesemua rakyat Malaysia.

"Tidak mengira bangsa, tidak mengira agama, tidak mengira jantina, tidak mengira warna kulit dan usia. Kedua, dalam khemah besar ini, perlulah parti-parti yang percaya kepada politik dasar dan politik khidmat.

"Ketiga, parti-parti ini perlulah parti yang menolak politik-politik tua (yang) memikirkan (tentang) politik wang, kuasa dan sebagainya," jelasnya.