Sivasangari, Rachel sandaran raih emas di Birmingham 2022

S Sivasangari (kiri) dan Rachel Arnold
S Sivasangari (kiri) dan Rachel Arnold
A
A
A

DUA pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari dan Rachel Arnold disasarkan membawa pulang pingat emas pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, dijadual pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya sukan berkenaan Gerard Monteiro percaya kejayaan dua pemain berkenaan memperoleh pingat gangsa pada Kejohanan Skuasy Beregu Wanita Dunia di Glasgow, Scotland, April lepas mampu membantu mereka mencapai kejayaan gemilang di Birmingham.

"Walaupun mereka tewas tipis pada separuh akhir dengan wakil England, saya harap kali ini mereka dapat mengubah kedudukan dan menyasarkan untuk mendapat pingat emas.

"Kesemua pemain sudah bersedia dan berlatih bersungguh-sungguh, (kami) menyasarkan satu pingat emas untuk skuasy diharapkan daripada beregu wanita mahupun beregu campuran," katanya ketika mengadakan lawatan serta perjumpaan bersama kem skuasy di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Rachel-Sivasangari tumpas 1-2 kepada gandingan England, Sarah Jane Perry-Alison Waters 9-11, 11-6, 3-11 pada aksi separuh akhir.

Selain skuasy, Monteiro turut mengadakan tinjauan ke atas pasukan gimnastik negara yang giat melakukan persiapan akhir menjelang Sukan Komanwel 2022.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril berkata kem gimnastik artistik merancang untuk 'bertapa' di Jepun sebelum berangkat ke Birmingham.

"Kita masih menunggu pengesahan serta belum ditentukan pusat lokasi oleh Japanese Federation dan mereka akan putuskan dalam dua minggu ini.

"Ya memang rancang saat akhir tapi sekiranya mempunyai peluang ke kem ini memang satu pendedahan yang bagus sebelum Sukan Komanwel," katanya. - Bernama