X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

19 Julai, putuskan persoalan undang-undang berhubung siasatan Nazlan

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 19 Julai ini untuk memutuskan permohonan dua peguam dan seorang aktivis merujuk dua persoalan undang-undang berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili ketiga-tiga mereka selaku plaintif dan Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mewakili defendan terdiri daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Terdahulu, Malik Imtiaz berhujah bahawa soalan itu adalah kompleks, melibatkan isu kuasa siasatan jenayah, kebebasan badan kehakiman berbanding doktrin pemisahan kuasa dan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.

'Walaupun terdapat beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu berbeza ini, tiada keputusan daripada mahkamah berkenaan ke atas kuasa badan siasatan jenayah itu untuk menyiasat seorang hakim atau kuasa pendakwa raya untuk melaksanakan prosiding terhadap seorang hakim untuk sesuatu kesalahan," katanya.

Peguam itu berkata, sejauh mana yang disedari plaintif, siasatan SPRM ke atas Hakim Mahkamah Rayuan itu sesuatu yang tidak pernah berlaku dahulu.

"Siasatan ini dilihat membangkitkan seolah-olah badan kehakiman itu sendiri sedang diserang. Siasatan oleh SPRM boleh memberi kesan kepada keyakinan orang ramai kepada badan kehakiman. Ini merupakan suatu perkara yang sangat penting yang memberi kesan kepada badan kehakiman secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata seharusnya, satu aduan bertulis boleh dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara oleh mereka yang membuat laporan dengan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan atau SPRM sendiri.

Sementara itu, Ahmad Terrirudin berhujah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91) memerlukan kewujudan isu-isu tertentu untuk ditentukan Mahkamah Tinggi, berasingan dan berbeza daripada persoalan perlembagaan untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

"Ia juga perlu dihantar kembali ke Mahkamah Tinggi untuk diselesaikan. Seksyen 84 ialah satu mekanisme untuk merujuk soalan tertentu kepada Mahkamah Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memindahkan keseluruhan kes ke Mahkamah Persekutuan.

Kesan permohonan ini akan boleh membuatkan mahkamah menyelesaikan keseluruhan kes sebagai mahkamah pertama dan tertinggi serta mengurangkan peranan Mahkamah Tinggi hanya kepada sebagai utusan. Ini adalah bertentangan kepada skim Perlembagaan Persekutuan selain Seksyen 84 Akta 91," katanya.

Dua peguam, Nur Ain Mjustapa dan Sreekant Pillai serta aktivis Haris Fathillah Mohamed Ibrahim memfailkan satu saman pemula untuk menuntut pengisytiharan bahawa siasatan yang dilakukan SPRM ke atas Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Mereka membangkitkan dua persoalan sama ada badan siasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan dari segi undang-undang untuk menyiasat hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang digantung menurut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan dan sama ada pendakwa raya diberi kuasa untuk melaksanakan sebarang prosiding bagi suatu kesalahan terhadap hakim yang masih berkhidmat di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam saman yang difailkan pada 6 Mei, ketiga-tiga plaintif menuntut deklarasi bahawa SPRM tidak berhak untuk menyiasat hakim-hakim yang masih berkhidmat melainkan mereka telah digantung atau dipecat.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa seorang pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim-hakim mahkamah yang berkhidmat selain memohon deklarasi siasatan terhadap Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Sementara itu, ketiga-tiga plaintif menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama saman pemula berkata pihak media telah melaporkan suruhanjaya itu sudah memulakan satu siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan kewujudan wang dalam akaun beliau yang tidak dapat dijelaskan berikutan laporan yang dibuat kepada SPRM.

Mereka mendakwa siasatan oleh SPRM terhadap hakim itu adalah satu pelanggaran oleh cabang Eksekutif terhadap kebebasan badan kehakiman dan prinsip pemisahan kuasa.

Baru-baru ini, Mohd Nazlan, yang mendengar kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan mensabitkan bekas perdana menteri itu dengan pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd telah membuat laporan polis berhubung artikel berita yang mendakwa beliau sedang disiasat mengenai isu wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!