Peluang kedua: Dr Streram mahu 'rawat' DUN Rantau

Calon PH, Dr. S Streram menunjukkan pas perakuan calon pada PRK DUN Rantau pada hari ini. -Foto Adam Amir Hamzah
Calon PH, Dr. S Streram menunjukkan pas perakuan calon pada PRK DUN Rantau pada hari ini. -Foto Adam Amir Hamzah
A
A
A

SEREMBAN - Lebih tiga dekad dalam bidang perubatan serta membantu mereka yang memerlukan sudah menjadi darah daging calon PH bagi PRK DUN Rantau, Dr S Streram.

Malah pakar bius Pusat Perubatan Nilai berusia 60 tahun berkenaan aktif sebagai doktor sukarelawan dalam misi bantuan kemanusiaan ke negara konflik termasuk di Afghanistan dan Sudan pada 2010 serta 2011.

Baginya, tiada apa yang lebih memuaskan hati daripada dapat menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan peluang bertanding sebagai wakil rakyat akan memberinya satu platform baharu untuk meluaskan perkhidmatannya di luar bidang perubatan.

Berkhidmat selama 34 tahun sebagai doktor, beliau yakin segala pengalamannya dalam bidang berkenaan sedikit sebanyak dapat memudahkannya mendekati rakyat, seterusnya menyampaikan perkhidmatan terbaik dalam mewakili suara mereka.

"Saya juga harap dapat aplikasikan segala pengalaman yang ada dan membantu membangunkan Rantau sebaik mungkin, sekiranya dipilih," katanya yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Anestesiologi dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, Universiti Manipal, India. Anggota Persatuan Perubatan San Frontier Brussel, Belgium itu juga pernah mendapat pengiktirafan 'Regional Anaesthesia, Dublin, Ireland', 'Airway Management, Sydney, Australia' dan 'Cardiac Thoracic Anaesthesia, Montreal, Canada'. Lahir di Kluang, Johor, dan kini menetap di Nilai, beliau yang mengundi di Rantau pernah berkhidmat sebagai anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, mula terlibat dalam politik sejak awal 90-an dan pernah menjawat jawatan Timbalan Bendahari PKR Selangor dan Bendahari Biro Integrasi Nasional PKR.

Ini merupakan peluang kedua beliau bertanding selepas dinafikan haknya bertanding pada PRU14 Mei tahun lepas setelah dihalang masuk ke pusat penamaan calon ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bapa kepada tiga anak perempuan itu akan berhadapan dengan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang tanpa bertanding pada PRU14 lepas dan dua calon bebas iaitu Malarvizhi Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Artikel Berkaitan:

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah. -Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Streram dah tak lupa bawa pas SPR

ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon PRK DUN Rantau berlangsung pagi ini