Tidak bawa masuk pemain status bintang, elak bergelut masalah hutang

Syamsul - Foto Kelantan United Football Club
Syamsul - Foto Kelantan United Football Club
A
A
A

KELANTAN United mengambil pendekatan berbeza pada jendela perpindahan sebelum pusingan kedua saingan Liga Premier musim ini, apabila tidak membuat sebarang rombakan terhadap kesebelasan utama pasukan.

Pengendali Kelantan United, Syamsul Saad berkata, langkah mempertaruhkan barisan pemain sedia ada juga diambil, kerana tidak mahu bergelut dengan masalah hutang sekiranya membawa masuk pemain bertaraf 'bintang' menyertai pasukan.

"Saya sedar majoriti pasukan lain membuat rombakan, tetapi saya yakin dalam usaha kita memperkuat pasukan adalah penting juga, untuk kita menghargai dan menjaga bakat pemain sedia ada.

"Kita sedar kemampuan kewangan pasukan dan cuba untuk belanja sekadar yang mampu, bagi mengelak bergelut untuk membayar gaji di kemudian hari," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Untuk rekod, jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) 2022 bermula dari 28 Mei hingga 24 Jun.

Selepas sembilan perlawanan pusingan pertama Liga Premier, Kelantan United berada pada kedudukan kelima liga apabila mengumpul 15 mata hasil empat kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Perak itu berkata, biarpun tidak dibarisi pemain 'bintang', pasukan itu tetap menetapkan sasaran untuk layak ke Liga Super musim depan.

"Misi kami pada pusingan kedua nanti tetap sama, biarpun tanpa pemain 'bintang' kita akan berikan peluang kepada anak negeri yang tidak mendapat tempat dalam mana-mana pasukan utama Liga Premier dan Liga Super, untuk beraksi dengan Kelantan United. - Bernama