Garis panduan penilaian keterancaman tanah runtuh diluluskan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Garis Panduan Penilaian Keterancaman Tanah Runtuh dan Indeks Risiko di Infrastruktur-Infrastruktur Kritikal Awam di Malaysia, akan diguna pakai sebagai panduan kepada kerajaan dan pemaju, untuk merancang serta menentukan pembangunan setempat dengan lebih efisien.

Garis panduan itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-79 yang dipengerusikan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan memaklumkan, garis panduan yang dibangunkan Kementerian Kerja Raya itu, bertujuan mengurangkan risiko tanah runtuh di kawasan infrastruktur kritikal awam seperti jalan raya, empangan, telekomunikasi dan bangunan awam.

"Garis panduan ini merupakan dokumen tambahan berkaitan indeks peta risiko, yang perlu dibaca bersama garis panduan serta dokumen pengurusan cerun lain yang telah sedia diguna pakai di peringkat kerajaan persekutuan, negeri atau kerajaan tempatan," menurut kenyataan KPKT itu.

Kenyataan KPKT itu memaklumkan, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai kejayaan pelaksanaan inisiatif Peraturan Tangkas iaitu pengeluaran permit pembinaan secara ekspres, yang berupaya melonjakkan produktiviti negeri seperti yang dilaksanakan di Kedah, melalui kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kulim dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

Menurut kenyataan itu mesyuarat juga mengambil maklum berhubung perancangan transformasi pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran, yang sedang dilaksanakan KPKT bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan di seluruh negara.

MNKT merupakan medium perundingan bagi penggubalan dasar berkaitan hal ehwal kerajaan tempatan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, selaras dengan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan dasar dan perkara yang dibincangkan dalam MNKT, akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri sebelum dilaksanakan di peringkat kerajaan tempatan. - Bernama