X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Ahli UMNO perlu sokong kepimpinan Ismail Sabri sebagai PM

Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli-ahli UMNO sewajarnya menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri apabila berjaya memimpin negara dengan menyelesaikan pelbagai isu yang amat mencabar yang tidak pernah dialami mana-mana perdana menteri sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan ahli parti yang memperlekehkan Perdana Menteri Kesembilan itu tidak menunjukkan semangat kepartian yang baik.

"Tak malu ke orang parti kita sendiri cuba melemahkan PM (Perdana Menteri) daripada parti kita yang hanya ada 38 kerusi?," katanya dalam satu sidang media.

Annuar berkata kepimpinan Ismail Sabri seharusnya mendapat sokongan kerana beliau telah mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik Covid-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).

"Perkara-perkara ini meletakkan PM, Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh UMNO dan mewakili parti UMNO," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

Annuar berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.

"Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu... dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.

Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan Covid-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas," kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!