Henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih angkara pencemaran

Loy Sian (kanan) semasa melawat sebuah kilang memproses minyak sawit yang disyaki menyebabkan pencemaran sungai pada Khamis.
Loy Sian (kanan) semasa melawat sebuah kilang memproses minyak sawit yang disyaki menyebabkan pencemaran sungai pada Khamis.
A
A
A

SEMENYIH - Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selama lebih dua jam bermula 10.15 pagi hingga 12.45 petang kerana berlaku pencemaran air di Sungai Semenyih, di sini pada Khamis.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pencemaran tersebut didakwa berlaku disebabkan bau kimia luar biasa di Jambatan Ladang Bukit Unggul pada bacaan satu ton (Nombor Bau Nilai Ambang).

Bagaimanapun katanya, tiada gangguan bekalan air berlaku yang memberi impak kepada pengguna kerana pencemaran tersebut tidak masuk ke muka sauk.

"Kita dapati bau kimia yang ditemui di luar sebuah kilang memproses minyak sawit di sini dan seakan-akan sama (di Sungai Semenyih), tapi kita akan bawa sampel air ke Jabatan Kimia untuk ujian dan memastikan persamaan bahan kimia itu."

Loy Sian (tengah) dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari (kiri) mencium bau sampel air yang diambil di saliran berdekatan kilang memproses minyak sawit di sini pada Khamis.
Loy Sian (tengah) dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari (kiri) mencium bau sampel air yang diambil di saliran berdekatan kilang memproses minyak sawit di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sebuah kilang memproses minyak sawit di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, pihak LUAS mengesyaki pencemaran di sekitar aliran air berhampiran kilang tersebut berlaku akibat tumpahan daripada saliran premis ke longkang dan seterusnya mengalir ke Sungai Rinching.

Ujarnya, premis tersebut sering terlibat dengan beberapa kes pencemaran air sejak tiga hingga empat tahun lalu, namun tiada bukti-bukti kukuh untuk mengaitkan kilang tersebut dengan insiden tersebut.

"Kejadian ini berulang kali kerana sebelum itu berlaku pencemaran di luar premis iaitu longkang berhampiran premis, tapi tidak pasti puncanya.

"LUAS dan beberapa pihak akan buat laporan polis dan buka kertas siasat menggunakan Enakmen LUAS 1999," katanya.