Ketua jabatan diingatkan jaga integriti: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

KANGAR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan ketua-ketua jabatan dalam perkhidmatan awam agar sentiasa menjaga integriti mereka sewaktu menjalankan tugas.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya menerima aduan terdapat penjawat awam di Perlis diugut untuk ditukarkan atau diberi petunjuk prestasi utama (KPI) rendah selepas memberi teguran kepada ketua jabatan mereka.

"Justeru kami memohon ketua-ketua jabatan ini agar dapat membetulkan kembali sistem perkhidmatan mereka memandangkan penjawat awam merupakan tunjang kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perlis Bersama Presiden Cuepacs yang berlangsung di Hotel Regency di sini, pada Khamis.

Adnan berkata, Cuepacs tidak teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya terhadap ketua jabatan tersebut sekiranya masalah ini berterusan.

"Kalau berlaku lagi keadaan seperti ini, Cuepacs tidak teragak-agak untuk ambil tindakan dan membuat laporan dengan lebih terperinci," katanya.

Mengulas mengenai dasar empat hari bekerja dalam seminggu, Adnan berkata pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan sedang menjalankan kajian selanjutnya.

Beliau berkata, Cuepacs juga sedang meneliti sektor-sektor yang bersesuaian bagi pelaksanaan dasar tempoh bekerja empat hari dalam seminggu itu.

"Kami maklum mengenai perkara ini dan akan kaji secara serius dahulu sebelum memberi sebarang cadangan berhubung pelaksanaan empat hari bekerja dalam seminggu," katanya. - Bernama