MAFI perkasa perikanan laut dalam

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) melihat proses membersihkan ikan di Kompleks Syarikat Gelombang Utama Sdn Bhd di Tok Bali, Pasir Puteh.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) melihat proses membersihkan ikan di Kompleks Syarikat Gelombang Utama Sdn Bhd di Tok Bali, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memperkasakan industri perikanan laut dalam bagi usaha menjamin bekalan makanan yang mencukupi dalam negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, langkah pemerkasaan itu termasuk mewujudkan suasana yang kondusif antara agensi kerajaan dan pihak swasta dalam kerjasama membangunkan sektor terbabit.

Katanya, sebagai langkah perlaksanaan itu, MAFI antaranya turun padang bagi mendengar permasalahan, melihat keperluan dan memperhalusi pelbagai cadangan serta saranan yang dibuat oleh pihak industri dari kedua-dua sektor.

“Kerajaan akan melihat secara terperinci sebarang keluhan dan cadangan serta menyesuaikannya dengan kehendak-kehendak yang diperlukan oleh pemain-pemain serius dalam industri perikanan laut dalam.

“Secara dasarnya kami melihat industri perikanan laut dalam diterokai sepenuhnya dan membangunkan potensi untuk dan menjadi sebagai satu sumber ekonomi dan pendapatan,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan ke Kompleks Syarikat Gelombang Utama Sdn Bhd di Tok Bali, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Kamarudin Md Nor.

Dr Ronald berkata, setakat ini, bekalan ikan dalam negara adalah mencukupi dan lazimnya keadaan bekalan banyak dan berkurang bergantung kepada cuaca misalnya musim tengkujuh menyebabkan tangkapan berkurangan seterusnya harga meningkat.

“Kadang-kala pula harga ikan boleh didapati secara murah dalam keadaan yang tertentu dan secara umumnya bekalan ikan dalam negara kita adalah stabil serta tidak berhadapan sebarang gangguan,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga ikan itu juga kesan daripada kos input atau operasi yang meningkat dan dihadapi oleh bukan sahaja Malaysia malahan secara global.

“Disebabkan oleh peningkatan kos seperti bahan api dan kos buruh menyebabkan harga ikan meningkat jadi keadaan ini dialami oleh pemain-pemain industri termasuk dalam sektor perikanan.

“Inilah yang kerajaan akan perhalusi misalnya permintaan pemain industri supaya mengembalikan subsidi diesel kepada pengusaha bot laut dalam jenis C2 yang diberikan bermula tahun 2016 tetapi ditamatkan pada tahun 2019 selain isu pendaratan ikan di jeti swasta dan permintaan untuk mempercepatkan pembaharuan lesen berkaitan,” katanya.