X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

[VIDEO] MCCC dedah 15 pusat hiburan edar dadah di KL

Musa Hassan - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mendedahkan senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi pusat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presidennya, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay untuk bertemu dengannya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, senarai tersebut hasil tinjauan lapangan MCCC melibatkan kelab malam yang kesemuanya memutarkan muzik-muzik rancak 'techno' di mana kebanyakan pengunjung menggunakan dadah untuk menari.

"Boleh dilihat paparan di media kejayaan polis merampas berkilogram dadah dalam operasi mereka. Namun ada yang terlupa pusat hiburan yang membekalkan dadah di premis itu.

"MCCC dapat maklumat senarai pusat hiburan 'techno' muzik yang mengedarkan dadah sintetik seperti ekstasi, ketamin, methamphetamin dan minuman jus bercampur dadah kepada pengunjung yang majoritinya membabitkan golongan muda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pendedahan eksklusif berkenaan aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan di ibu negara pada Khamis.

Mengulas lanjut, Musa Hassan berkata, kegiatan tersebut dikesan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dan ia semakin rancak ketika ini.

"Saya minta pihak polis bekerjasama dengan imigresen dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerbu premis ini bagi mencegah kemudaratan khususnya anak muda kita.

"Siasat juga PR (orang perantara pusat hiburan) ini yang tak diambil tindakan dan jangan tangkap penguat kuasa sahaja. PR ini yang bagi rasuah supaya melancarkan operasi sindiket.

"Siasat ketua sindiket dan PR terbabit. Saya akan membantu memberi maklumat lagi. Dalam senarai juga ada pemilik kelab malam," katanya.

Ditanya adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjadi dalang sindiket dadah itu, beliau tidak menafikan penglibatan PBT kerana PR pusat hiburan terbabit akan menghubungi semua penguat kuasa.

Ketika ditanya pihak media mengapakah senarai berkenaan tidak diserahkan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob Khan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!