Malaysia dijangka hadapi gelombang baharu Covid-19 lebih awal

Khairy Jamaluddin melawat Klinik Pakar di Hospital Rembau.
Khairy Jamaluddin melawat Klinik Pakar di Hospital Rembau.
A
A
A

REMBAU - Malaysia dijangka menghadapi gelombang baharu Covid-19 lebih awal berbanding jangkaan sebelum ini antara dua atau tiga bulan akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kenyataan itu bukan untuk menakutkan rakyat tetapi lebih kepada langkah pencegahan supaya dapat mengawal kes sepanjang tempoh fasa peralihan endemik.

"Sebelum ini saya ada maklum negara sudah boleh bersedia menghadapi gelombang jangkitan Covid-19 yang baharu.

"Tujuan saya nyatakan ini untuk beri bayangan, tapi saya rasa kemungkinan gelombang itu akan datang lebih awal berdasarkan ramalan yang kita sedang buat selain melihat perkembangan kes di negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perkhidmatan Otorinolaringologi dan 'Sleep Lab' Kluster Negeri Sembilan di Hospital Rembau pada Khamis.

Jelasnya, negara kini merekodkan 2,766 kes berbanding sebelum ini hanya berada pada paras antara 1,000 ke 2,000 kes sahaja setiap hari.

Bagaimanapun katanya, tahap keseriusan gelombang itu adalah ringan dengan kadar kematian dan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada paras rendah.

"Kes meningkat dengan dua kluster baharu dan semua negeri menunjukkan peningkatan kes sejak semalam melainkan Selangor, Johor, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan.

"Dua kluster baharu ialah kluster pendidikan pengajian tinggi. Kita lihat kemungkinan dalam beberapa minggu akan datang jika tidak diambil langkah berhati-hati, kes akan terus meningkat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan mereka yang ada masalah kesihatan kronik yang serius mengambil suntikan dos penggalak kedua.

Khairy berkata, ia langkah terbaik untuk melindungi kumpulan itu daripada mendapat kesan serius sekiranya dijangkiti Covid-19.

"Saya juga mengikuti perkembangan kes di Singapura kerana setiap hari ratusan ribu yang keluar masuk di Tambak Johor," katanya.

Sementara itu berkenaan kes jangkitan cacar monyet, beliau berkata, buat masa ini tiada kes dilaporkan di negara ini.