'Tak kecil hati tidak dilantik Mufti'

Zamri
Zamri
A
A
A

IPOH - Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menyangkal dakwaan kononnya beliau berkecil hati tidak dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan Mufti Perak selepas Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia Mei tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya timbul apabila pelantikan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu adalah di atas kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Saya sebagai penjawat awam tidak ada masalah kerana ikrar kita daripada awal akan berkhidmat di mana-mana dan melaksanakan tugas dengan baik untuk agama, bangsa dan negara.

"Yang penting adalah Islam terbela, tidak kiralah siapa yang menjadi Mufti. Tiada rasa kecil hati pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ijtimak Pemantapan Guru Takmir Peringkat Negeri Perak yang dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Roslan Said di Institut Tadbiran Islam Perak di sini pada Khamis.

Zamri berkata, pelantikan Wan Zahidi itu adalah tepat bersandarkan pengalamannya dalam bidang fatwa selain merupakan tokoh pemikir Islam.

"Kami di Jabatan Mufti Perak menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku atas pelantikan itu. Beliau merupakan tokoh yang diharapkan dapat menyambung legasi Allahyarham Harussani.

"Kami akan beri kerjasama baik, sama seperti dengan Harussani malah lebih baik. Saya menjunjung kasih kerana baginda masih memberi perkenan kepercayaan untuk saya memegang jawatan kini," katanya.

Jawatan Mufti Perak kosong selepas pemergian Harussani pada 30 Mei 2021.

Allahyarham Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak pada 1985 meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun semasa mendapatkan rawatan kerana jangkitan Covid-19.

Dalam tempoh itu, Zamri sering dikaitkan sebagai pengganti kerana telah berkhidmat selama 24 tahun bersama bekas Mufti Perak itu.

Media melaporkan, Wan Zahidi, 80, dilantik sebagai Mufti Perak berkuat kuasa 1 Ogos ini setelah mendapat perkenan Sultan Nazrin untuk tempoh perkhidmatan selama dua tahun.