Sanggup kelirukan maklumat demi untung atas angin

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rata-rata penyewa yang menyewa semula unit projek perumahan awam (PPR) daripada penyewa asal tidak mengetahui ia adalah satu kesalahan, menyebabkan terdapat segelintir penyewa asal mengambil kesempatan memberi maklumat yang mengelirukan demi untung atas angin.

Bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap unit-unit berkenaan akan mengenal pasti penghuni tidak sah kerana maklumat penghuni tidak sama dengan maklumat penyewa asal.

Keadaan tersebut akan disusuli tindakan merampas unit-unit berkenaan untuk diberi semula kepada pemohon yang layak.

Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, berkata, sepanjang 2018, sejumlah 547 unit PPR dirampas atas pelbagai kesalahan termasuk penghuni tidak sah.

Bagaimanapun katanya, kes yang dikenal pasti membabitkan penghuni tidak sah bukan penyumbang besar dalam rampasan yang dibuat sepanjang tahun lalu berikutan beberapa siri tindakan sebelum itu telah mengatasi masalah berkenaan.

"Kesalahan lain yang membawa kepada tindakan rampasan unit termasuk tidak menetap iaitu sebanyak 350 unit dikenal pasti sepanjang tahun lalu. Enam kes tunggakan sewa dan turut diambil tindakan kerana syarat sewa PPR ini penghuni sepatutnya menetap dan membayar sewa.

"Kes penghuni warga asing juga tidak begitu ketara kerana banyak tindakan dan pemantauan telah dibuat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, kini DBKL mempunyai lebih 40,000 permohonan menyewa PPR dan PA dan senarai ini perlu dibantu dengan mengenal pasti unit-unit yang didapati melanggar syarat sewa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, DBKL sentiasa memahami rumah sebagai satu keperluan utama dan bersikap bertolak ansur sekiranya terdapat penyewa yang benar-benar berdepan kesulitan untuk membayar sewa bulanan sehingga berlaku tunggakan yang tinggi.

"Bagaimanapun kita tidak menyalah guna budi bicara kerana kita bantu mereka yang perlu. Meskipun telah mendapat perintah mahkamah untuk usir, kita beri peluang untuk penghuni menjelaskan tunggakan sewa dengan membuat penjadualan semula bayaran serta merujuk kepada agensi seperti Baitulmal untuk bantuan sewa.

"Namun sekiranya mereka masih gagal untuk memenuhi syarat penjadualan semula, DBKL berhak menarik balik unit-unit berkenaan," katanya.

Pada masa sama, Ibrahim berkata, DBKL turut mengharapkan kerjasama daripada persatuan-persatuan penduduk, termasuk ketua-ketua blok dan tingkat untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat salah laku penghuni yang 'menyeleweng' unit yang disewakan oleh DBKL ini.

Katanya, DBKL bersedia mengkaji insentif kepada pelapor demi memastikan kediaman-kediaman PPR dapat dipantau dengan lebih berkesan.

"DBKL tiada kekuatan mencukupi untuk memantau keseluruhan lebih 60,000 unit PPR dan Perumahan Awam (PA) di seluruh Kuala Lumpur dengan anggaran seorang kakitangan menjaga 2,000 unit rumah.

"Bancian akan dibuat setiap tahun namun dalam masa sama maklumat daripada awam juga diperlukan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu seleweng PPR Lembah Subang bukan baharu

Penyewa PPR seleweng, kaut untung atas angin

Tunggakan sewa PPR cecah RM25,250