Sila log masuk terlebih dahulu.

Sukan Komanwel: Peluang untuk Tze Yong menyinar

Tze Yong - Foto Persatuan Badminton Malaysia
Tze Yong - Foto Persatuan Badminton Malaysia
A
A
A

NG Tze Yong kini menjadi harapan pasukan negara untuk mengisi slot kosong yang ditinggalkan Lee Zii Jia susulan keputusan jaguh perseorangan lelaki itu menarik diri daripada Sukan Komanwel di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, mereka tiada pilihan selain menurunkan pemain ranking ke-48 dunia itu untuk menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki yang menjadi sandaran emas negara.

Walaupun laluan sukar menanti pemain berusia 22 tahun itu, Choong Hann tidak mahu Tze Yong mensia-siakan peluang keemasan tersebut, selain berharap anak didiknya itu mampu melakar kejutan.

Juara perseorangan lelaki Sukan Komanwel 1998 itu turut mengakui bahawa Tze Yong berdepan tekanan untuk menyinar dalam acara badminton yang akan diadakan di National Exhibition Centre bermula 29 Julai hingga 8 Ogos.

''Macam mana sekalipun kita akan hantar Tze Yong untuk cuba memberikan yang terbaik daripada kem perseorangan lelaki," katanya kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan Komanwel Birmingham, Gerard Monteiro ke kem latihan pasukan badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Zii Jia menerusi sebuah video yang dikongsikan kepada media memaklumkan keputusan mengejutkan beliau untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel.

Perseorangan nombor lima dunia itu menyatakan sebab utama beliau mengambil keputusan itu adalah kerana kesukaran menangani jadual padat, selain mahu memberi fokus kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, pada 22-28 Ogos ini.

Menurut Choong Hann, Zii Jia tidak memaklumkan kepada beliau mengenai keputusannya itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: