Klopp minta penyokong Liverpool berlapang dada

Klopp akui Mane merupakan sebahagian aset penting Liverpool.
Klopp akui Mane merupakan sebahagian aset penting Liverpool.
A
A
A

JURGEN Klopp meminta para penyokong tegar Liverpool supaya menghormati pendirian Sadio Mane yang mengambil keputusan untuk berhijrah menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

Malah menurut pengendali The Reds itu, pemergian aset penting kelab Merseyside tersebut juga selepas pemain Senegal berkenaan mencipta pelbagai sejarah bersama kelab sepanjang tempoh enam tahun.

“Salah seorang pemain terbaik Liverpool pergi (berhijrah) dan kami seharusnya mengakui betapa penting Mane kepada kelab selama ini.

“Kami sayangkan Mane. Dia pergi dengan statusnya sebagai pemain hebat kelab ini dan antara seorang pemain terbaik dunia," katanya.

Mane berusia 30 tahun sebelum itu melengkapkan perpindahan dari Liverpool ke Bayern Munich dengan kontrak tiga tahun.

Pada masa sama Klopp menghormati sepenuhnya keputusan Mane dan berharap para penyokong turut sama berbuat demikian.

"Jika anda suka kelab bola sepak Liverpool, anda mesti merelakan pemergian Sadio Mane kerana tiada kompromi dalam isu ini. Biarpun satu kerugian kepada Liverpool dan memberi keberuntungan kepada Bayern.

“Kami tidak mendoakan apa-apa selain kejayaan dalam setiap perlawanan yang dimainkan Mane, melainkan, sudah tentu bukan perlawanan berdepan kami. Saya percaya potensi Mane akan terus menyinar tanpa sebarang halangan," ujarnya.

Di Anfield, Mane merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Liga, Piala Dunia Kelab dan Piala Super dengan status penjaring terbanyak ke-14 dalam sejarah kelab.