Isteri Pemangku Raja Johor gesa siasat semula kematian bayi Syifaa

Hantaran di Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
Hantaran di Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isteri Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam menggesa siasatan semula dijalankan ke atas kematian bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, 15 bulan pada Februari lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, Che’ Puan Besar Khaleeda menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas kematian bayi berkenaan ketika dalam jagaan di pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan, susulan laporan bedah siasat yang meragukan.

Che' Puan Besar Khaleeda yang meletakkan tanda pagar #justiceforbabysyifaa turut menandakan nama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

"Bagi saya tidak masuk akal Baby Syifaa terjerut buai dengan ada kesan luka di kakinya seperti dia diheret.

“Dan lagi satu yang kawan saya pointed out, kesan di leher itu nipis. Kalau betul dijerut dengan buai, will it not show a thicker mark? Tak pernah saya tengok buai yang bertali nipis.

“PDRM, You need to re-investigate this case,” tulisnya dalam Instagram.

Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sendayan pada jam 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke klinik itu untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dilaporkan berkata, polis merakam keterangan 18 individu termasuk pengasuh dan ibu bapa kepada bayi serta kanak-kanak yang dihantar ke pusat asuhan terbabit.

Katanya, hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban merumuskan punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher.

Nanda berkata, hasil siasatan awal mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu juga tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak penghujung tahun 2019.

Beliau turut dilaporkan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Pada 30 Mac lalu, Yuseri meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkembangan siasatan polis yang didakwa belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.