Harga barang naik: Pemimpin negara perlu korban elaun, potong gaji

Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Baljit Singh)
Gambar hiasan - Foto Bernama (Gambar kecil: Baljit Singh)
A
A
A

GEORGETOWN - Semua wakil rakyat di negara ini harus membuat pemotongan gaji dan mengorbankan elaun mereka susulan kenaikan harga barang keperluan asas selepas pemansuhan subsidi kerajaan.

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Baljit Singh berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira fahaman politik bersolidariti untuk rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menteri kabinet, timbalan menteri, ahli Parlimen dan ADUN perlu memainkan peranan dalam membalas jasa rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya lalu.

Tambahnya, selain menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemegang jawatan politik yang lain juga perlu melakukan perkara sama.

"Adalah tidak wajar untuk rakyat menderita sendirian manakala wakil rakyat terus menikmati faedah seperti gaji penuh, elaun yang tinggi dan bajet perjalanan ke luar negara pada masa ini.

"Pemimpin negara yang ada sekarang perlu membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan apabila harga barang terus naik.

"Semua wang yang disimpan daripada gaji dan elaun perlu disalurkan semula kepada rakyat, sebelum negara mengalami masalah sosial dan kesusahan yang lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Baljit berkata, nilai dan watak sebenar pemimpin negara dapat dilihat oleh rakyat sekiranya mereka menangani krisis dengan baik.

"Walaupun banyak skim bantuan yang diberikan oleh kerajaan, ia dilihat bukan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat.

"Oleh kerana kita semua bersama-sama dalam krisis kenaikan harga ini, mari lah kita menunjukkan keprihatinan antara satu sama lain dalam masa yang sukar ini," katanya.

Kerajaan telah memutuskan untuk menghapuskan subsidi minyak masak botol mulai 1 Julai ini dan mengekalkan subsidi untuk minyak masak peket 1 kilogram (kg) yang telah dilaksanakan sejak 2007.

Minyak masak 1 kg bersubsidi itu berharga RM2.50 sepeket berbanding harga pasarannya RM9 dan bertujuan untuk memanfaatkan kumpulan B40 Keluarga Malaysia.

Mulai 1 Julai juga, kerajaan tidak lagi memberi subsidi kepada harga ayam, wang tersebut sebaliknya akan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya B40 sebagai bentuk bantuan kewangan yang akan disalurkan terus kepada mereka.

Pada masa ini, kerajaan memberi subsidi kepada penternak ayam bagi memastikan harga ayam kekal pada RM8.90 sekilogram.

Susulan pengumuman itu, rakyat Malaysia menyatakan kebimbangan mereka terhadap kenaikan harga barang keperluan asas yang akan berlaku berikutan pemansuhan subsidi kerajaan di media sosial.