Beberapa kawasan di Melaka dilanda banjir kilat

Anggota bomba menyelamatkan seorang warga emas yang terlantar
sakit selepas kediaman mereka dinaiki air di Jalan Bukit Senjuang pada Khamis.
Anggota bomba menyelamatkan seorang warga emas yang terlantar sakit selepas kediaman mereka dinaiki air di Jalan Bukit Senjuang pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Hujan lebat berpanjangan lebih dua jam pada awal pagi Khamis menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini mula dinaiki air.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka dalam kenyataan memaklumkan, antara kawasan terjejas Taman Rambai Indah, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya dan Tanjung Minyak.

"Selain itu, kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat ialah Kampung Pengkalan Rama Pantai, Rumah Awam Pantai Peringgit, Taman Desa Molek dan Kampung Padang Bukit Lintang.

"Bagaimanapun melaporkan keadaan di semua kawasan masih terkawal. Setakat jam 8 pagi tiada pusat pemindahan dibuka," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Padang Temu, Pegawai Bomba Kanan II Hazalani Jaafar berkata, pihaknya menyelamatkan sebuah keluarga termasuk dua warga emas dan dua kanak-kanak selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat di Jalan Bukit Senjuang di sini.

Menurutnya, dalam kejadian jam 8.30 pagi, kesemua mangsa berada dalam rumah dan salah seorang warga emas lelaki berusia 87 tahun terlantar sakit di atas katil.

"Sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.38 pagi.

"Kita dapati kediaman mangsa telah dinaiki air pada paras satu kaki dan terdapat enam ahli keluarga termasuk warga emas yang terlantar sakit dan kanak-kanak masing-masing berusia 11 dan 12 tahun.

"Anggota kemudian membantu memindahkan mangsa ke rumah jiran yang terletak di kawasan lebih tinggi dan tidak terjejas dengan banjir," katanya.