X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Hole-in-one Safee Sali: Nasib atau memang skil

Safee berjaya membawa pulang kereta mewah, Mazda CX-5 apabila melakukan hole-in one di Kejohanan Golf Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club (GGCC) pada Isnin lalu. - Foto IG supersafee_10
A
A

"APABILA anda percaya bahawa ALLAH menyertai anda, maka tidak kira siapa yang menentang anda, percayalah kepada kekuasaan ALLAH."

Begitulah kata-kata Safee Sali di laman Instagram miliknya setelah berjaya membawa pulang sebuah kereta mewah, Mazda CX-5 apabila melakukan hole-in one di Kejohanan Golf Trofi Mazda 2022 di Glenmarie Golf & Country Club (GGCC) pada Isnin lalu.

Memang ramai yang terkejut bekas pemain bola sepak kebangsaan dan penyerang Kuala Lumpur City FC itu bukan sahaja berbisa di atas padang bola, tetapi juga di atas padang golf.

Bagi kaki golf, untuk melakukan pukulan hole-in-one memang menjadi impian mereka.

Bayangkanlah bagaimana sukarnya untuk mengayunkan kayu golf, memukul bola yang kecil itu dan memasukkannya ke dalam lubang dalam jarak lebih kurang 200 meter.

Tetapi memang tuah menyebelahi Safee. Dia sendiri tentunya pernah memasang angan-angan untuk mencipta kejayaan yang luar biasa itu, dan hari itu memang tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Berbanding sukan lain, untuk melakukan hole-in-one, perlu mempunyai skil dan pengetahuan. Namun percayalah, 90 peratus adalah bergantung pada nasib.

Ia bukan sukan-sukan lain seperti bola sepak yang memerlukan strategi dan semangat berpasukan untuk menjaringkan gol.

Sebenarnya bukan semua pemain golf termasuklah pemain bertaraf profesional sekali pun mampu melakukan hole-in-one.

Bagi Safee, kejayaan ini mungkin hanya sekali saja dalam sepanjang hayatnya. Dia mungkin boleh menjaringkan lebih banyak gol lagi untuk Kuala Lumpur City FC selepas ini, tetapi tidak lagi hole-in-one buat kali kedua.

Begitulah juga dalam kehidupan kita. Kita mungkin bernasib baik pada hari ini, tetapi jangan harap tuah sentiasa bersama kita setiap hari.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!